KANGAR: Seramai 24,054 murid tahun satu mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di seluruh negeri ini bagi sesi penggal baharu 2026.
Selain itu, murid tingkatan satu yang direkodkan mendaftar bagi tahun ini pula seramai 3,923 membabitkan kelas aliran perdana, peralihan dan sekolah agama swasta.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, terdapat pelbagai aktiviti turut diatur pada minggu pertama persekolahan berdasarkan konsep ditetapkan bagi mewujudkan suasana ceria dan menyeronokkan disamping memupuk pelbagai nilai baik.
“Aktiviti ini juga melibatkan murid, guru, ibu bapa dan komuniti, malah pihak sekolah boleh merancang sendiri aktiviti berdasarkan konsep yang telah diberikan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau sesi hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Ahmad Sesi 2026, di sini, hari ini.
Rose Aza berkata, antara aktiviti ceria yang dilihat dapat menarik perhatian murid adalah seperti permainan, riadah, senamrobik, sukaneka dan pelbagai lagi.
Katanya, nilai pendidikan dan informatif turut diselitkan membabitkan aktiviti projek, penyelesaian masalah, penerapan nilai dan pembangunan sahsiah.
“Usaha ini juga dapat memupuk kerjasama dan komunikasi berkesan antaranya menerusi pelaksanaan aktiviti berkumpulan atau ekspresi seni kreatif,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar & Kurikulum), Dr. Rusmini Ku Ahmad berkata, guru-guru dilihat menyambut baik pelaksanaan ‘Program First Day At School’ bersempena hari pertama sesi persekolahan ini.
“Jika dilihat guru-guru juga penuh bersemangat menyambut murid-murid di pagar sekolah bersama dengan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.-UTUSAN










