22 maut, kereta api tergelincir dihempap kren tumbang

22 maut, kereta api tergelincir dihempap kren tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 22 maut selepas sebuah kren di tapak projek kereta api laju yang disokong China tumbang dan menghempap tren penumpang di Thailand hari ini.

Ketua Polis Nakhon Ratchasima, Thatchapon Chinnawong, berkata lebih 30 penumpang turut cedera dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 9 pagi di daerah timur laut Bangkok.

Menurut Jabatan Perhubungan Awam Wilayah Nakhon Ratchasima, kren yang digunakan dalam pembinaan rangkaian kereta api laju itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap tren yang sedang bergerak, mencetuskan kebakaran serta mengakibatkan gerabak terbalik.

Rakaman langsung media tempatan menunjukkan pasukan penyelamat berkejar ke lokasi kejadian, dengan tren berwarna terang itu kelihatan terbalik sambil asap tebal menyelubungi kawasan.

Tren berkenaan dalam perjalanan dari Bangkok menuju ke Ubon Ratchathani ketika nahas berlaku. Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian.

Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, seramai 195 penumpang berada di dalam tren berkenaan, dan pihak berkuasa kini sedang berusaha mengenal pasti kesemua mangsa yang terkorban.

Kren yang terlibat digunakan dalam projek pembinaan rangkaian kereta api laju bernilai AS$5.4 bilion (RM21.8 bilion), yang disokong China.

Projek itu bertujuan menghubungkan Bangkok dengan Kunming, China melalui Laos menjelang 2028, sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur mega Beijing, ‘Belt and Road’.

Thailand sememangnya berdepan rekod keselamatan yang lemah, dengan kejadian kemalangan industri dan tapak pembinaan sering berlaku akibat penguatkuasaan peraturan keselamatan yang longgar.

Pihak berkuasa dijangka melakukan siasatan terperinci terhadap insiden terbaharu ini.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN