MELBOURNE: Sekurang-kurangnya 130 bangunan termasuk rumah musnah dan lebih 300,000 hektar kawasan belukar terbakar ketika negeri Victoria terus bergelut dengan gelombang kebakaran yang dijangka berlarutan selama beberapa minggu.
Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan, Tim Wiebusch berkata, kira-kira 50 rumah musnah dalam kebakaran di Ravenswood dan Harcourt pada Sabtu. Laluan kereta api Bendigo turut rosak dan terpaksa ditutup.
Beliau berkata, kira-kira 30 struktur lain turut musnah dalam kebakaran di Longwood, selain kerugian besar melibatkan ternakan, ladang pertanian dan kebun anggur.
Sebanyak 20 struktur musnah dalam kebakaran di Natimuk, manakala 10 di Yarrowee dan lima lagi di Streatham.
Walaupun hanya sekitar empat struktur terbakar dalam kejadian di Walwa, lebih 10,000 hektar tanaman pain turut hangus.
Pihak berkuasa berkata, kira-kira 38,000 kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik di Victoria.
Pihak berkuasa memberi amaran keadaan panas melampau dan angin kencang boleh menyebabkan kebakaran terus merebak dan menyukarkan usaha pemadaman.
“Kebakaran yang kita hadapi tidak seperti yang pernah dilihat pada 2009 dan 2019. Semalam (Jumaat), lebih 200 kebakaran belukar berlaku di setiap penjuru negeri, 10 daripadanya kekal sebagai kebakaran utama.
“Penting untuk dinyatakan, banyak kebakaran utama ini akan terus marak selama beberapa hari, jika tidak berminggu-minggu,” katanya.
Awal Sabtu, kerajaan negeri mengisytiharkan darurat bencana di 18 kawasan pihak berkuasa tempatan yang terjejas serta di Lake Mountain Alpine Resort, berikutan ancaman terhadap nyawa serta harta benda.
Pusat Kawalan Negeri Victoria mengesahkan 67 kebakaran masih marak di seluruh negeri, termasuk 10 kebakaran belukar yang berada di luar kawasan setakat Sabtu.
Gelombang haba di Victoria mula reda pada pagi Sabtu, dengan sebahagian besar negeri itu dijangka mencatat suhu sekitar 20 darjah Celsius selepas beberapa kawasan mencecah lebih 45 darjah Celsius pada Jumaat.
Tiada daerah dikategorikan sebagai bahaya kebakaran ‘bencana’ atau ‘ekstrem’ pada Sabtu selepas penilaian diturunkan berikutan perubahan cuaca yang lebih sejuk.- AGENSI










