11 tahun lawan penyakit, Nur Ainul Darwisya pergi selamanya

11 tahun lawan penyakit, Nur Ainul Darwisya pergi selamanya

NUR Ainul Darwisya Mohd. Zulfikri, meninggal dunia semalam selepas menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Perjuangan hidup seorang remaja perem­puan yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak usia empat tahun berakhir apabila Nur Ainul Darwisya Mohd. Zulfikri, 15, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ta­nah Merah, di sini, awal pagi semalam.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 3.15 pagi selepas dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas, sekali gus menutup episod lebih 11 tahun bertarung dengan penyakit buah pinggang tahap akhir dan pelbagai kom­plikasi kesihatan.

Bapanya, Mohd. Zulfikri Yahaya, 41, berkata, anak sulung daripada lapan beradik itu sepatutnya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) namun terpaksa dirawat di wad biasa berikutan kekangan kekosongan katil.

Katanya, keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot sejak seminggu lalu apabila selera makannya berkurangan dan tubuhnya semakin lemah.

“Walaupun kami sering dimaklumkan supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan, kami sekeluarga cuba kekal tabah.

“Lewat malam tadi saya sempat berbual dengannya. Seperti biasa, dia memohon maaf kerana merasakan dirinya banyak menyusahkan keluarga sepanjang tempoh rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kisah Nur Ainul Darwisya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir, selain mengalami komplikasi paru-paru dan kerapuhan tulang, pernah mendapat perhatian ramai sebelum ini serta menerima simpati masyarakat.

Difahamkan, rawatan yang diterima selama ini hanyalah bersifat sokongan memandangkan keadaannya sudah tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

Mohd. Zulfikri berkata, kehilangan anaknya amat dirasai selepas sebahagian besar hidupnya dihabiskan untuk menjaga arwah termasuk menguruskan rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Banyak kenangan bersama arwah yang tidak mungkin dilupakan. Saya bersyukur dapat memberikan yang terbaik sehingga ke akhir hayatnya.

“Kami sekeluarga reda de­ngan pemergiannya kerana dia telah lama menanggung kesakitan,” katanya.

Jenazah Nur Ainul Darwisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Gajah, di sini semalam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×