REMBAU: Seramai 10 tahanan dari Penjara Seremban cedera selepas lori polis membawa mereka terbalik dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin di sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.40 pagi ketika lori berkenaan sedang membawa 10 orang kena tuduh (OKT) ke Mahkamah Rembau di sini.
Katanya, kesemua OKT bersama lima orang anggota polis pengiring dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam perjalanan ke mahkamah itu untuk menghidupkan waran menahan.
“Ketika membelok ke kanan, lori itu hilang kawalan dan terbalik. Empat orang OKT mengalami kecederaan dan enam orang OKT lagi mengalami luka ringan. Kesemuanya telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN.










