Warisan nafi beli ADUN Sabah

Warisan nafi beli ADUN Sabah

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menafikan dakwaan bahawa parti itu cuba membeli atau memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negeri ini.

Selain itu katanya, komitmen parti itu adalah untuk sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.

“Kepercayaan anda amat kami hargai dan amanah itu kami pikul dengan penuh rendah hati dan penghormatan.

“Kami akan terus melaksanakan peranan yang telah diamanahkan kepada kami dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie mengulas dakwaan sebuah portal berita kononnya terdapat cubaan daripada Warisan membeli atau memujuk ADUN bagi mendapatkan sokongan untuk membentuk sebuah gabungan politik
dalam mentadbir Sabah.

Pada PRN Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN diikuti Warisan (25), Barisan Nasional (6), Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)(2) manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri ialah 37 kerusi DUN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN