JAKARTA: Polis Indonesia menamakan seorang warganegara China sebagai suspek dalam kes pencemaran radioaktif yang melibatkan penyimpanan cesium-137 di sebuah kilang peleburan logam di Pulau Jawa, Banten.
Pihak berkuasa mengenal pasti Lin Jingzhang, ketua Metal Peter Technology, sebuah syarikat yang memproses besi buruk, sebagai suspek dalam kes pencemaran cesium-137 terhadap alam sekitar, lapor Jakarta Globe pada Jumaat.
“Polis menamakan Lin Jingzhang sebagai suspek,” kata jurucakap Pasukan Tugas Bahaya Radionuklid Cesium-137, Bara Krishna Hasibuan.
Beliau turut menegaskan suspek tersebut diharamkan daripada keluar negara.
Hasibuan berkata, pihak berkuasa menemukan sisa industri berbahaya yang disimpan di dalam kilang tanpa pengurusan yang betul di premis peleburan tersebut.
Beliau berkata, Jingzhang dituduh memiliki besi buruk yang mengandungi cesium-137 secara haram dan gagal menyimpan atau mengurus bahan tercemar itu mengikut peraturan.
Pada Ogos, Indonesia menggantung operasi sebuah syarikat makanan laut selepas Amerika Syarikat (AS) mengarahkan siasatan dan penarikan semula produk udangnya berikutan penemuan radiasi dalam produk tersebut.
Siasatan dijalankan selepas radionuklid (Cs-137) ditemukan dalam penghantaran udang beku import daripada syarikat terbabit.
Pencemaran Cesium-137 adalah disebabkan isotop radioaktif cesium buatan manusia yang dihasilkan melalui pembelahan nuklear, biasanya dikaitkan dengan kemalangan nuklear dan ujian senjata.
Pendedahan kepada Cs-137 boleh menyebabkan loya, muntah, keletihan, cirit-birit, bilangan limfosit rendah, dan kerosakan kulit. Dalam kes yang teruk, ia boleh mengakibatkan pendarahan, jangkitan, kegagalan organ atau kematian.
Pendedahan jangka panjang kepada dos rendah radionuklid juga meningkatkan risiko kanser, melemahkan sistem imun, dan boleh menyebabkan kecacatan kongenital pada wanita hamil.










