CARACAS: Venezuela menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membuat ancaman penjajah selepas beliau mendakwa ruang udara di seluruh negara itu harus ditutup.
Kementerian Luar Venezuela dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan Trump sebagai satu lagi pencerobohan yang melampau, haram dan tidak wajar terhadap rakyat negara itu.
AS tidak mempunyai kuasa secara sah untuk menutup ruang udara negara lain, namun hantaran Trump di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan perjalanan dan menghalang syarikat penerbangan daripada beroperasi di sana.
“Kepada semua syarikat penerbangan, juruterbang, pengedar dadah dan penyeludup manusia, sila anggap ruang udara di atas dan sekitar Venezuela sudah ditutup sepenuhnya,” dakwa Trump di platform Truth Social.
AS ketika ini meningkatkan kehadiran ketenteraan di Caribbean, yang menurut pegawai untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah.
Bagaimanapun, Presiden Venezuela, Nicolás Maduro menolak dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai usaha Washington untuk menggulingkannya.
Rumah Putih masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung kenyataan itu.
Kenyataan Trump dikeluarkan beberapa hari selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangan mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan di dalam dan sekitar Venezuela.
Rabu lalu, Venezuela turut mengharamkan enam syarikat penerbangan antarabangsa utama Iberia, TAP Portugal, Gol, Latam, Avianca dan Turkish Airlines daripada mendarat di negara itu selepas gagal mematuhi tempoh 48 jam untuk menyambung semula operasi.
AS sebelum ini menghantar kapal pengangkut pesawat terbesar dunia, USS Gerald Ford, bersama 15,000 anggota tentera ke kawasan berhampiran Venezuela di mana Washington menegaskan penempatan itu yang terbesar sejak pencerobohan AS ke atas Panama pada 1989 bertujuan memerangi penyeludupan dadah.
Trump sebelum ini memberi amaran usaha AS untuk menghentikan penyeludupan dadah oleh Venezuela melalui darat akan bermula tidak lama lagi.
Setakat ini, pasukan AS melancarkan sekurang-kurangnya 21 serangan ke atas bot yang didakwa membawa dadah, mengakibatkan lebih 80 maut, namun Washington tidak mengemukakan bukti bot tersebut membawa bahan terlarang.- AGENSI










