131225-Klt-RXZ PangkalanHaram-Done Online
YATIMIN ABDULLAH/pix
[email protected]
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengakui aktiviti penyeludupan motosikal jenis Yamaha RXZ dari Thailand ‘lumpuh’ sejak polis menutup pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di negeri ini.
Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, sejak tindakan itu diambil oleh Polis Kelantan aktiviti penyeludupan menjadi semakin sukar untuk dilakukan.
Katanya, sebelum ini sindiket penyeludupan menggunakan sampan untuk membawa masuk motosikal itu secara tidak sah.
“Kita menyokong penuh tindakan Ketua Polis negeri (Datuk Mohd. Yusoff Mamat) menutup pangkalan haram (sepanjang Sungai Golok).
“Mungkin ketika ini, kalau ada penyeludupan pun ia melibatkan aksesori. Namun sehingga hari ini kami (JPJ) belum ada rekod kegiatan tersebut,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar ketika ditemui sempena Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di sini malam tadi.
Utusan Malaysia 19 April tahun lalu melaporkan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan tidak menolak kemungkinan penganjuran beberapa siri himpunan motosikal jenis Yamaha RXZ mendorong kepada peningkatan aktiviti penyeludupan model berkenaan dari negara jiran.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, model berkenaan kemudian diklon dan dijual lebih rendah berbanding harga pasaran.
Katanya, situasi berkenaan menyaksikan model motosikal itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di negeri ini.-UTUSAN










