Tunku Ismail sempurnakan majlis pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB - Utusan Malaysia

Tunku Ismail sempurnakan majlis pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (tengah) berkenan melancarkan gimik pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Keretapi Kembas Baru di Johor, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian  Landasan Berkembar Elektrik (LKE) Gemas–Johor Bahru di Stesen KTMB Kempas Baru hari ini. 

Projek sepanjang 192 kilometer itu turut merangkumi pembinaan 11 stesen baharu iaitu Segamat, Genuah, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang, Pulai dan Kempas Baru, sekali gus meningkatkan keupayaan rangkaian kereta api negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Penyempurnaan dan Pengoperasian LKE menjadi bukti komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam serta memacu pembangunan negara.

Ujarnya, majlis bersejarah ini bukan sekadar simbolik penyempurnaan projek, sebaliknya satu pencapaian besar hasil kerjasama erat Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Kereta Api (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan FITB YTI dalam merealisasikan sistem rel moden untuk rakyat.

“Pembangunan ini memberi impak besar kepada rakyat antaranya membuka peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor perniagaan, logistik, makanan serta pengangkutan sampingan di kawasan sekitar stesen-stesen baharu.

“Projek ini juga meningkatkan daya saing Johor Bahru sebagai hab logistik, industri dan perkhidmatan, terutama melalui hubungan kukuh dengan Singapura sekali gus menyumbang kepada peningkatan nilai hartanah di kawasan seperti Segamat, Kluang, Layang-Layang dan Kempas,” katanya pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian LKE Gemas–Johor Bahru di Stesen KTMB Kempas Baru, di sini hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Menurut Siew Fook, perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) berkelajuan operasi 140 kilometer sejam membolehkan perjalanan dari Johor Bahru ke KL Sentral ditempuh hanya empat jam setengah, manakala perjalanan penuh hingga Padang Besar mengambil kira-kira 10 jam.

“Perjalanan lebih singkat, kerap dan selesa ini mampu meningkatkan mobiliti rakyat serta menjadi alternatif kepada penggunaan kenderaan persendirian. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Pengoperasian perkhidmatan ETS KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral bermula 12 Disember melengkapkan sambungan yang sebelum ini berakhir di Kluang. 

Jadual perjalanan bermula pukul 7.45 pagi dari KL Sentral ke JB Sentral, manakala dari JB Sentral tren pertama berlepas 8.40 pagi.

Harga tiket bermula RM82 sehala dan boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, kios tiket serta laman web rasmi KTMB untuk perjalanan sehingga Mei 2026.

KTMB turut menawarkan diskaun 30 peratus bagi perjalanan ETS sektor Selatan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026 menerusi kod promosi JBBEST. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN