TOL tamat tempoh, PSAP kecam tindakan NGO bela penceroboh tanah kerajaan di Triang - Utusan Malaysia

TOL tamat tempoh, PSAP kecam tindakan NGO bela penceroboh tanah kerajaan di Triang

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mengecam tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa membela penceroboh tanah kerajaan negeri di Triang, Bera.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, walaupun mereka merupakan bekas pemegang lesen pendudukan sementara (TOL), namun ia sudah tamat tempoh dan tanah tersebut kekal milik kerajaan negeri.

“Tanah TOL kekal sebagai hak milik kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan serta menamatkan lesen tersebut sekiranya berlaku pelanggaran syarat.

“Tanah TOL juga tidak boleh ditanam sawit. Jika ada pihak yang berbuat demikian, ia jelas melanggar syarat dan dianggap pencerobohan.

“NGO yang cuba membela pekebun atau penceroboh sebenarnya melemahkan undang-undang serta menjejaskan hak rakyat yang patuh kepada peraturan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy berkata, PSAP turut menyokong langkah kerajaan negeri membuka tender tanah kepada rakyat Pahang yang tidak memiliki tanah, termasuk di kawasan Triang.

Langkah itu katanya, bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki tanah secara sah, malah menambah hasil negeri.

Pertubuhan itu merakamkan penghargaan kepada PTG Pahang atas ketegasan mengurus isu tanah TOL, termasuk di Raub sebelum ini dan kini di Bera.

“Ketegasan PTG melindungi kepentingan rakyat dan memastikan tanah negeri diurus secara adil dan telus. Rakyat yang benar-benar memerlukan tanah harus diberi peluang melalui saluran sah, manakala pencerobohan mesti ditolak sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN