PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan ketika membuat keputusan tidak meneruskan rayuan terhadap kes melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
AGC menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025 berhubung keputusan tersebut setelah meneliti sepenuhnya alasan penghakiman yang telah diperoleh.
“Antara faktor utama dipertimbangkan adalah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah seperti dikehendaki dalam perbicaraan jenayah.
“Ia memandangkan saksi-saksi penting bagi membuktikan pertuduhan terhadap Rosmah telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan. Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram.
Menurut AGC, semua aspek utama kes termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dibuat dengan Notis Penarikan Balik Rayuan difailkan pada 9 Disember lalu.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Notis Penarikan Balik Rayuan yang difailkan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember lalu menyatakan bahawa pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan berkenaan.
Bagaimanapun, AGC berkata, keputusan menarik balik rayuan tersebut tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan termasuk kes rasuah projek solar hibrid yang melibatkan tertuduh dan kini berada pada peringkat Mahkamah Rayuan.
“Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
“Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Pada 19 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepaskan dan membebaskan Rosmah, 74, daripada pertuduhan terbabit selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan atas alasan tuduhan tidak berasas dan pendakwaan gagal mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023 dan perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023 dengan dua saksi memberi keterangan.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).-UTUSAN.










