Tiada pangkalan haram dibina semula selepas dirobohkan-Polis Kelantan - Utusan Malaysia

Tiada pangkalan haram dibina semula selepas dirobohkan-Polis Kelantan

KERJA-kerja merobohkan pangkalan haram yang dilakukan di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, sempadan Malaysia–Thailand di negeri ini yang sudah dirobohkan, tidak dibangunkan semula untuk aktiviti jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, hasil pemantauan mendapati tiada sebarang usaha untuk membina semula pangkalan haram itu dilakukan setakat ini.

Katanya, sejak November lalu hingga semalam sebanyak 25 buah pangkalan haram sudah dirobohkan dalam usaha membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Beberapa lokasi yang telah dirobohkan turut dipasang kawat berduri sebagai langkah pencegahan awal bagi menghalang sebarang cubaan membangunkan semula pangkalan haram berkenaan.

“Sehingga hujung tahun ini, Polis Kelantan menyasarkan untuk merobohkan 20 lagi pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff mengakui berlaku kebocoran maklumat mengenai operasi perobohan pangkalan haram yang dilakukan oleh pihaknya baru-baru ini.

Katanya, ia menyebabkan sindiket penyeludupan bertindak memindahkan jeti atau platform yang digunakan untuk jenayah rentas sempadan tersebut ke negara jiran.

“Saya tidak tahu bagaimana maklumat itu boleh bocor. Bila kita tiba dilokasi mendapati jeti-jeti atau platform tersebut telah dialihkan,” ujarnya.

Utusan Malaysia 11 Disember lalu melaporkan, sebanyak 10 lagi binaan pangkalan haram di Sungai Golok di sini yang digunakan untuk tujuan penyeludupan dirobohkan.

Ia melibatkan pangkalan haram Ibrahim Pencen, Ibrahim Pencen 2, Kak Pah, Tambahan, Kayangan Inn, Jeram Perdah 2, Syed Moer 2, Jitong, Mat Yeh dan Mok Yah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN