BANGKOK: Thailand mahu Kemboja menjadi pihak pertama mengumumkan gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran yang kembali meningkat di sempadan kedua-dua negara.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Maratee Nalita Andamo berkata, Kemboja, sebagai penceroboh wilayah Thailand, juga perlu bekerjasama secara ikhlas dalam usaha pembersihan lombong di sempadan.
Pertempuran yang berlaku bulan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk anggota tentera dan orang awam, serta memaksa kira-kira 800,000 penduduk dipindahkan.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana menghasut pertempuran dan saling menuduh serangan terhadap orang awam.
Sehingga kini, Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang campur tangan dalam konflik sempadan awal tahun ini, minggu lalu mendakwa kedua-dua negara bersetuju mengadakan gencatan senjata bermula malam Sabtu.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berkata, negaranya menyokong inisiatif gencatan senjata yang dicadangkan Malaysia selaku pengerusi ASEAN, dengan penyertaan Washington.
Namun, pertempuran terus berlaku setiap hari sejak 7 Disember, merebak ke tujuh wilayah di kedua-dua sempadan, dan Bangkok menafikan dakwaan Trump mengenai gencatan senjata yang dipersetujui.
Kemboja, yang berhadapan dengan kekurangan keupayaan ketenteraan berbanding Bangkok, pada Isnin mendakwa pasukan Thailand memperluas serangan ‘ke dalam’ wilayahnya.
Phnom Penh menuduh tentera Thailand mengebom wilayah Siem Reap, lokasi tapak candi Angkor yang berabad-abad lama, tarikan pelancongan utama negara, buat kali pertama dalam pusingan pertempuran terbaharu.
Pertempuran melibatkan artileri, kereta kebal dan jet pejuang Thailand itu mengorbankan 16 anggota tentera Thailand, seorang orang awam Thailand serta 15 orang awam Kemboja, menurut pihak berkuasa.
Phnom Penh setakat ini tidak melaporkan sebarang kematian dalam kalangan anggota tenteranya dalam pusingan pertempuran terbaharu.- AFP










