Sukar dakwa seks songsang?

Sukar dakwa seks songsang?

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Elemen suka sama suka menjadi faktor utama yang menyukarkan pendakwaan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan, sekali gus menjadikan peruntukan itu sukar diguna pakai dalam kebanyakan kes melibatkan perbuatan bertentangan dengan aturan luar tabii.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Seksyen 377A tidak begitu jelas dari segi niat, kedudukan mangsa dan isu kerelaan, menyebabkan pendakwaan hanya lebih mudah dibuat apabila mangsa di bawah umur 18 tahun atau wujudnya aduan terus daripada mangsa.

“Kebanyakan kes pendakwaan tertumpu kepada mang­sa di bawah umur 18 tahun atau apabila terdapat aduan daripada mangsa.

“Jika perkara tersebut dilakukan atas dasar suka sama suka, sukar bagi Seksyen 377A untuk diguna pakai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, seramai 171 lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini telah dibebaskan selepas permohonan reman ke atas kesemua individu terbabit ditolak oleh mahkamah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, permohonan reman itu ditolak berikutan kelewatan permohonan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Ia susulan kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi golo­ngan lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral, yang terbongkar da­lam serbuan di sebuah premis di Chow Kit pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Musa berkata, Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun serta sebatan terhadap mana-mana individu yang melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan atau dengan me­nimbulkan ketakutan kepada mang­sa.

Katanya, walaupun kerelaan boleh menjadi pembelaan di bawah Seksyen 377C, dari sudut syarak perbuatan liwat tetap dianggap satu kesalahan sama ada berlaku secara sukarela mahupun paksaan.

“Pelbagai kaedah pembuktian termasuk bukti kamera litar tertutup (CCTV) dan ujian asid deosiribonukleik (DNA)wajar dinilai secara serius oleh mahkamah.

“Mahkamah perlu memberi pertimbangan serius kepada bukti saintifik dan fizikal, bukan hanya bergantung kepada keterangan konvensional.

“Tidak sepatutnya hanya bergantung kepada keterangan konvensional. Jika serbuan dilakukan dan kesalahan disahkan, pendakwaan wajar dite­ruskan,” katanya.

Tambah beliau, kesalahan liwat di bawah undang-undang jenayah syariah telah diputuskan sebagai tidak sah dan terbatal berdasarkan kes Iki Putra Mubarak pada 2021.

“Dalam kes ini, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai tidak sah atau batal.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) perlu meneliti semula keseluruhan peruntukan di bawah Seksyen 377 bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang berkaitan hubungan songsang lebih berkesan dan berintegriti,” katanya.

Sementara itu, Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, kaedah saintifik dan teknologi itu boleh digunakan untuk pendakwaan di bawah Seksyen 377A dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Katanya, libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan perlu dilakukan bagi mendapatkan pandangan masyarakat.

“Libat urus dilakukan bertujuan memastikan sama ada undang-undang di peringkat Persekutuan perlu dipinda atau digubal supaya penguatkuasaan undang-undang lebih seragam di seluruh negara dan tiada unsur diskriminasi antara agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN