KANGAR: Kerajaan negeri sedang meneliti usaha penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem parkir berpalang di sekitar Perlis termasuk melibatkan kaedah pembayaran digital.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, usaha penambahbaikan itu dilaksanakan penuh komitmen oleh kerajaan negeri untuk memastikan sistem parkir pintar yang diguna pakai di Perlis benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan di pintu masuk dan keluar kawasan parkir serta meningkatkan kemudahan kepada pengguna, tetapi juga bagi memastikan pengurusan parkir yang lebih cekap, selamat dan moden.
“Sebarang pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan penelitian rapi terhadap kesesuaian lokasi, keberkesanan teknologi dan kos penyelenggaraan agar tidak membebankan rakyat,” katanya menjawab pertanyaan dibangkitkan Saad Seman (Chuping-PN) berhubung status sistem parkir berpalang termasuk mempertimbangkan penggunaan sistem parking tanpa palang bagi mengurangkan kesesakan serta memudahkan pengguna.
Awal Julai lalu, kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan sistem parkir pintar di Perlis selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada penambahbaikan oleh syarikat pengendali.
Asrul berkata, syarikat yang telah dilantik oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk melaksanakan projek ini ialah Snatch Park BizSolution Sdn. Bhd dan segala kos pengoperasian, penyelenggaraan serta pembangunan sistem ditanggung sepenuhnya oleh pihak terbabit.
“Sistem Smart Parking yang dilaksanakan ini adalah sistem yang terbaik di negara ini di mana ia mengamalkan konsep You Park You Pay.
“Sistem ini juga tidak memerlukan pemantauan penguatkuasaan, tiada kompaun dan tiada tindakan mahkamah malah tempoh untuk meletakkan kenderaan selama 15 minit adalah secara percuma. Pelaksanaan ini turut memenuhi hasrat kerajaan dan penggunaan sistem ini dapat membantu untuk mencapai tahap kedua dalam Developing Smart City.
“Berdasarkan persetujuan bersama, tempoh kontrak antara MPK dan pihak syarikat juga adalah ditetapkan selama 21 tahun. Ini adalah bagi memastikan kesinambungan operasi serta ruang penambahbaikan berterusan demi manfaat rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.-UTUSAN









