TELUK INTAN: Harapan penduduk untuk kembali menjalani rutin harian selepas membersihkan rumah daripada kotoran banjir tidak kesampaian apabila banjir melanda semula Kampung Selabak Luar dan Selabak Dalam di sini.
Sebahagian besar penduduk mengakui masih keletihan mencuci rumah selepas banjir namun terpaksa berpindah sekali lagi ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila air naik dengan cepat tanpa diduga.
Keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan fizikal malah menimbulkan rasa fobia dalam kalangan mereka yang bimbang banjir akan berulang pada bila-bila masa.
Penduduk, Abu Bakar Ahmad, 56, berkata, kejadian berkenaan merupakan antara banjir paling buruk pernah dialami sepanjang menetap di kampung itu.
Menurutnya, mereka sekeluarga baru sahaja selesai membersihkan rumah dan menyelamatkan dokumen penting namun tidak sempat berehat apabila dimaklumkan air kembali melimpah.
“Petang semalam saya, isteri dan anak-anak baru siap mencuci rumah. Saya pun baru hendak baring berehat, tiba-tiba dapat panggilan daripada jiran kampung sebelah beritahu rumahnya dinaiki air lagi.
“Apabila sampai, kereta langsung tidak boleh masuk ke kawasan rumah. Saya segera bawa isteri dan anak-anak ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, walaupun sedikit lega kerana dibenarkan pulang selepas banjir surut sebelum ini, segala usaha membersih dan mengemas rumah sia-sia apabila kediaman mereka kembali ditenggelami air.
Katanya, perabot dan barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, katil serta tilam rosak teruk manakala sebahagian daripadanya tidak dapat diselamatkan.
“Air datang deras dan terlalu pantas, kami tidak sempat selamatkan apa-apa. Hanya fikir untuk keluar segera kerana air sudah mencecah paras pinggang.
“Apa pun, kami reda. Cuma harap cuaca kembali baik dan tiada lagi banjir susulan,” katanya.-UTUSAN.










