KUANTAN: Pemuda UMNO Indera Mahkota hari ini menggesa pimpinan utama parti itu supaya memperhalusi semula kedudukan dalam kerajaan Pusat susulan kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, berhubung keputusan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, kenyataan tersebut dianggap melampau, tidak sensitif dan mengguris hati rakyat, selain mencerminkan politik dendam yang tidak beradab.
“Andai perlu duduk dikerusi pembangkang pun kita sanggup. Asalkan tidak tergadai maruah dan mendokong titah tuanku Sultan Pahang. Perjuangan kami berprinsip, demi maruah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Nik Mohd. Ridzuan berkata, Pemuda UMNO Indera Mahkota memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin DAP yang secara terbuka bersorak dan meraikan keputusan mahkamah melibatkan Najib.
“Perbuatan ini bukan sahaja biadap, tidak berperikemanusiaan dan jijik, malah memperlihatkan politik dendam yang langsung tidak mencerminkan kematangan, empati dan adab seorang pemimpin dalam negara berbilang kaum.
“Kamu angkat dan hormati titah Tuanku sewaktu ingin membentuk kerajaan, akan tetapi hari ini titah adendum buat Datuk Seri Najib ini tidak terpakai pula. Dahulu kamu sorok titah ini sehingga Istana Pahang keluarkan titah adendum dan hari ini titah ini tidak sah pula,” katanya.
Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ berserta berita mengenai Najib.
Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61.
Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya. – UTUSAN










