MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia menyekat akses kepada Snapchat dan mengenakan sekatan terhadap perkhidmatan panggilan video milik Apple, FaceTime, dalam langkah terbaharu kerajaan memperketat kawalan internet serta komunikasi dalam talian.
Agensi internet negara itu, Roskomnadzor, dalam satu kenyataan mendakwa kedua-dua aplikasi tersebut digunakan ‘untuk menganjur dan melaksanakan aktiviti keganasan di dalam negara, merekrut pelaku, selain melakukan penipuan serta jenayah lain terhadap rakyat’.
Apple dan Snap Inc. tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen berhubung tindakan tersebut.
Roskomnadzor memaklumkan sekatan ke atas Snapchat dilaksanakan pada 10 Oktober, namun hanya didedahkan kepada umum pada Khamis.
Langkah itu menyusul selepas tindakan sebelumnya terhadap beberapa platform lain termasuk YouTube milik Google, WhatsApp dan Instagram milik Meta, serta Telegram, aplikasi pemesejan yang diasaskan oleh individu kelahiran Rusia, susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.
Di bawah pemerintahan Vladimir Putin, pihak berkuasa Rusia telah melaksanakan usaha bersepadu dan terancang untuk mengawal internet. Mereka memperkenalkan undang-undang yang ketat dan menyekat laman web serta platform yang tidak mematuhi peraturan. Teknologi turut dipertingkatkan untuk memantau dan mengawal trafik dalam talian.
Akses ke YouTube terganggu tahun lalu, yang menurut pakar merupakan usaha sengaja pihak berkuasa untuk menahan laman popular tersebut. Kremlin menuduh pemilik YouTube, Google, gagal menyelenggara perkakasan mereka di Rusia dengan betul.
Walaupun beberapa sekatan masih boleh diatasi menggunakan perkhidmatan rangkaian peribadi maya (VPN), langkah itu turut sering disekat oleh pihak berkuasa.
Musim panas ini, pihak berkuasa memperketat kawalan internet lagi melalui penutupan sambungan internet telefon bimbit secara besar-besaran.
Pegawai menegaskan langkah itu perlu bagi menangkis serangan dron Ukraine, namun pakar berpendapat ia merupakan langkah tambahan untuk memperkukuh kawalan ke atas internet.
Di berpuluh-puluh wilayah, ‘senarai putih’ laman web dan perkhidmatan yang diluluskan kerajaan diperkenalkan bagi memastikan ia berfungsi walaupun berlaku sekatan.
Kerajaan Russia turut mengambil tindakan terhadap platform pesanan popular. Aplikasi pesanan terenkripsi, Signal, dan satu lagi aplikasi terkenal, Viber, disekat pada 2024.
Tahun ini, pihak berkuasa melarang panggilan melalui WhatsApp, aplikasi pesanan paling popular di Russia, serta Telegram yang berada di tempat kedua.
Roskomnadzor menjelaskan tindakan itu diambil kerana kedua-dua aplikasi tersebut digunakan untuk aktiviti jenayah.- THE GUARDIAN










