RM2.29 juta BWI disalur kepada 2,289 ketua isi rumah terjejas di Perlis - Utusan Malaysia

RM2.29 juta BWI disalur kepada 2,289 ketua isi rumah terjejas di Perlis

RAHIMI Ismail (dua dari kanan) ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat PKOB di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di Kangar, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bantuan Wang Ihsan (BWI) Monsun Timur Laut akan disalurkan kepada 2,289 ketua isi rumah terjejas dengan banjir di negeri ini, dengan nilai RM2.29 juta.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, bantuan berkenaan telah mula diproses dan dihantar kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk disalurkan kepada penerima.

Katanya, secara keseluruhan, anggaran kerugian akibat banjir di negeri ini berjumlah RM150 juta meliputi kerosakan infrastruktur, kediaman persendirian, prasarana pertanian, ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam, ultiliti serta lain-lain sektor yang berkepentingan buat kerajaan negeri.

Ujar beliau, sektor tanaman padi antara yang paling teruk terjejas melibatkan kerugian sehingga RM65 juta membabitkan kawasan sawah seluas 15,000 hektar.

“Daripada segi daerah terjejas teruk adalah melibatkan kawasan Kangar manakala Wang Kelian turut mengalami jalan runtuh melibatkan 11 lokasi. Kawasan Kangar paling teruk terjejas selepas mengambil kira jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini semalam.

Rahimi berkata, kerajaan negeri telah mengenalpasti lokasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan kekal (PPK) dan proses itu dijangka selesai tahun hadapan.

“Kriteria untuk PPK ini adalah kawasan yang tidak dinaiki air dan mudah akses, malah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga menetapkan satu negeri bangunkan satu PPK. Konsep PPK ini lebih sistematik dan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang bencana,” katanya.

Katanya, bencana banjir di Perlis dapat ditangani dengan baik susulan peranan dimainkan setiap agensi dalam menghadapi situasi tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN