Puluhan ribu kelapa tidak dapat dipetik akibat banjir termenung

Puluhan ribu kelapa tidak dapat dipetik akibat banjir termenung

NORMAN Maizuki menunjukkan kelapa yang dibeli daripada penduduk yang sebahagiannya sudah bercambah akibat terendam dalam banjir ketika tinjauan di Rungkup, Bagan Datuk, Perak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang pekebun dan peraih kelapa di Rungkup di sini mengalami kerugian ribuan ringgit selepas kebun kelapanya ditenggelami banjir termenung sejak sebulan lalu.

Norman Maizuki, 39, berkata, keadaan itu menyebabkan ribuan biji kelapa tidak dapat dikutip menyebabkan kelapa tua yang biasanya diproses menjadi santan kini rosak, busuk dan bercambah.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan bekalan santan malah menyukarkan proses pengeluaran produk berasaskan kelapa seperti minyak masak.

“Kelapa yang sudah bercambah tidak boleh dijadikan santan. Ia hanya sesuai diproses menjadi minyak masak namun prosesnya lebih panjang dan memerlukan kos tambahan.

“Saya membeli kelapa daripada pekebun pada harga 50 sen sebiji. Untuk mendapatkan satu kilogram kelapa salai untuk dibuat minyak masak, ia memerlukan kira-kira lima hingga enam biji kelapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norman berkata, banjir termenung menyukarkan kerja-kerja mengutip hasil apabila buah kelapa terendam sepenuhnya, sekali gus menyebabkan sebahagian besar hasil rosak.

“Saya anggarkan kira-kira 30,000 biji kelapa milik saya dan pekebun sekitar Rungkup terjejas akibat banjir termenung ini,” katanya.

Menurutnya, dia tetap membantu pekebun lain yang tidak dapat mengeluarkan hasil dari kebun dengan cara membeli kelapa yang sudah bercambah.

“Saya tetap membeli kelapa pekebun walaupun sudah bercambah bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Norman berkata, dia bimbang sekiranya air bertakung berlarutan, lebih banyak buah kelapa akan rosak dan menjejaskan pendapatan pekebun serta peraih.

“Banjir termenung ini turut menyukarkan pergerakan kami di kebun kelapa kerana sukar membezakan antara parit dan tanah. Kami pernah nyaris terjatuh ke dalam parit yang dalam,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan berke­naan bagi mengelakkan kerugian lebih besar pada masa hadapan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×