SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ahli-ahli politik supaya fokus bekerja menyelesaikan masalah rakyat termasuk meletakkan sasaran sifar banjir dalam menangani bencana tersebut.
Baginda menegaskan, segala tenaga dan fikiran ditumpukan kepada usaha membina pembangunan yang nyata agar rakyat dapat hidup lebih selesa, terpelihara kebajikannya dan dilindungi oleh sistem yang adil dan berkesan.
Sultan Selangor bertitah, masalah seperti banjir sudah berlarutan terlalu lama dan ia perlu ditangani secara tuntas dengan sasaran yang jelas iaitu zero flood.
“Carilah kepakaran terbaik, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Gunakan ilmu, teknologi dan pengalaman. Jangan lagi berlindung di sebalik alasan, kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan.
“Beta maklum, kita tidak mampu menghalang ribut, taufan, hujan lebat atau bencana alam yang merupakan ketentuan Ilahi. Namun beta yakin, banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang jujur serta berdisiplin.
“Kepada mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab, khususnya ahli-ahli politik di Selangor, beta berpesan, cukup-cukuplah bercakap tentang politik, fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsungnya pilihan raya umum (PRU),” titah baginda dalam perutusan tahun baharu 2026, hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah lagi, baginda menaruh harapan tinggi bagi tahun 2026 supaya memberi kemakmuran lebih besar kepada rakyat negeri ini.
“Jadikanlah tahun baharu ini sebagai titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih berakhlak, dan lebih bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
“Ingatlah, tiada yang mustahil jika niat itu tulus dan usaha itu bersungguh-sungguh. Segala perancangan dan tindakan hendaklah berteraskan satu matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri,” nasihat baginda. – UTUSAN










