Penjawat awam Perlis terima Bantuan Khas Kewangan RM500 - Utusan Malaysia

Penjawat awam Perlis terima Bantuan Khas Kewangan RM500

PENJAWAT awam di Perlis termasuk kakitangan kontrak menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 menerusi pembentangan Belanjawan Perlis 2026, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri menyalurkan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam Perlis termasuk kakitangan kontrak.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pemberian tersebut adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.

Katanya, menerusi pemberian itu, kerajaan negeri berharap agar penjawat awam dapat meningkatkan tahap produktiviti, kecekapan dan kualiti hasil kerja selaras dengan penambahbaikan yang diterima.

“Ini adalah demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di samping memperkukuh tadbir urus kerajaan,” katanya membentangkan Belanjawan Perlis 2026 di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga komited melaksanakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam secara berterusan bagi memastikan jentera pentadbiran negeri kekal relevan, responsif dan berprestasi tinggi.

Katanya, usaha ini merangkumi penambahbaikan struktur organisasi, pengukuhan budaya kerja berintegriti serta penerapan nilai profesionalisme dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.

“Melalui reformasi ini, kerajaan negeri berhasrat membentuk perkhidmatan awam yang lebih dinamik, berorientasikan hasil dan mampu memenuhi aspirasi pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Dengan perkhidmatan awam yang cekap, berpengetahuan dan berorientasikan prestasi, kerajaan negeri dapat melaksanakan dasar serta inisiatif pembangunan secara lebih berkesan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN