KANGAR: Kerajaan negeri fokus memacu pembangunan negeri secara holistik dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, penerapan nilai kebajikan, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi secara mampan melalui Belanjawan Perlis 2026 yang memperuntukan sebanyak RM359.58 juta.
Belanjawan bertema Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM57.20 juta berbanding 2025 dengan RM244.42 juta atau 68 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM115.16 juta diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan 2026 dirangka dengan memfokuskan kepada tiga tekad utama iaitu pertumbuhan ekonomi mampan, pembangunan infrastruktur lestari dan Perlisku Bestari Berkebajikan.
Kerajaan negeri juga menganggarkan sejumlah RM217.59 juta kutipan hasil pada 2026 dan anggaran itu bakal menyaksikan kutipan hasil negeri meningkat sebanyak RM94.66 juta atau 77 peratus berbanding 2025.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, melalui anggaran itu, kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM26.83 juta pada tahun 2026, namun jumlah tersebut masih pada kadar terendah jika dibandingkan dengan belanjawan pada lima tahun lalu.
Justeru beliau berkata, pada tahun 2026, semua agensi pengutip cukai hendaklah meningkatkan kecekapan memungut cukai dengan mengatur tugasan dan merangka gerak kerja yang teratur bagi meningkatkan kutipan, mencegah ketirisan dan mengurangkan jumlah tunggakan.
Katanya, Perlis turut mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif bagi tahun 2024 berjumlah RM6.5 bilion berbanding RM 6.3 bilion pada tahun 2023 iaitu merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus.
“Mengambil prinsip mengutamakan kesejahteraan rakyat, setiap dasar dan program dirangka dalam belanjawan ini mengambil kira keperluan sebenar rakyat bagi memastikan kebajikan akses yang adil kepada peluang ekonomi, perkhidmatan sosial dan pembangunan modal insan.
“Kita meneruskan kesinambungan belanjawan terdahulu dan menambah baik agar memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat,” katanya membentangkan Belanjawan Perlis 2026 di sini semalam.
Katanya, secara keseluruhan kedudukan dan prestasi kewangan Perlis sehingga 5 Disember 2025 menunjukkan terimaan hasil sebanyak RM193.86 juta iaitu melebihi RM70.93 juta berbanding anggaran RM122.93 juta.
“Kerajaan negeri kekal komited untuk memastikan tadbir urus kewangan dilaksanakan secara teratur, berintegriti dan berhemah. Bagi tahun 2025, kerajaan negeri juga telah meluluskan pelaburan bernilai RM1.67 bilion bagi sektor pembuatan, sektor pembinaan dan sektor tenaga boleh baharu,” katanya.-UTUSAN










