WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mula mengenakan bayaran sebanyak AS$5,000 (RM20,552) terhadap individu yang memasuki Amerika Syarikat (AS) secara haram.
Ketua Peronda Sempadan AS, Michael Banks dalam satu kenyataan berkata, ‘bayaran tangkapan’ terpakai kepada individu berusia 14 tahun ke atas yang ditangkap dan didapati menyeberangi sempadan tanpa kebenaran serta dianggap tidak layak masuk.
Langkah itu diluluskan Kongres melalui ‘One Big Beautiful Bill Act’, yang turut memperuntukkan berbilion dolar untuk penguatkuasaan imigresen.
“Mesej ini ditujukan kepada semua pendatang asing tanpa izin (PATI), tidak kira di mana mereka masuk, berapa lama berada di AS, lokasi semasa, atau sebarang prosiding imigresen yang sedang berjalan,” kata Banks.
Tangkapan di sempadan barat daya AS menurut mendadak dalam setahun lalu, mencapai paras terendah bulan yang tidak pernah dilihat sejak 1960-an.
Pada November, Peronda Sempadan melaporkan kira-kira 7,300 tangkapan, menurun sedikit berbanding Oktober, di sepanjang sempadan Mexico, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dalam kenyatan kelmarin berkata, bayaran tersebut sudah dilaksanakan sejak September lalu.
Menurut agensi itu, individu yang gagal membayar denda akan menjadi hutang yang perlu dilunaskan kepada kerajaan AS dan boleh menghalang mereka daripada kembali ke negara tersebut secara sah.
Bayaran tangkapan merupakan hukuman terbaharu terhadap pendatang di bawah dasar pengusiran besar-besaran yang diperkenalkan Trump.
Awal tahun ini, pentadbiran Trump berkata akan mengenakan denda hampir AS$1,000 (RM4,110) sehari terhadap pendatang yang menghadapi perintah pengusiran tetapi masih belum meninggalkan negara.
Selain itu, pentadbiran AS turut melancarkan kempen pengusiran secara agresif, dengan menawarkan AS$1,000 kepada pendatang untuk meninggalkan negara secara sukarela jika mereka mendaftar menggunakan aplikasi Customs and Border Protection (CBP) Home.
Minggu ini, DHS berkata, kira-kira 1.9 juta warga asing meninggalkan AS secara sukarela sejak Trump memegang jawatan, walaupun jumlah yang menggunakan aplikasi CBP Home masih tidak jelas.- BLOOMBERG










