Pembangunan perlu tepati keperluan rakyat – PM

Pembangunan perlu tepati keperluan rakyat – PM

TUNKU Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan memasukkan replika kunci sebagai simbolik pelancaran Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik (LKE) Gemas-Johor Bahru di Stesen KTMB Kempas Baru, Johor Bahru, semalam. Turut hadir Anwar Ibrahim. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan sentiasa mendengar pandangan serta teguran kerajaan negeri bagi memastikan setiap perancangan pemba­ngunan benar-benar menepati keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan baharu itu menandakan perubahan besar dalam cara kerajaan merangka pembangunan negara yang kini tidak lagi bergantung kepada andaian Pusat semata-mata.

Katanya, kerjasama erat an­tara kerajaan Persekutuan dan pentadbiran negeri membo­leh­kan pelan pembangunan di­sesuaikan dengan realiti sebenar di tiap-tiap negeri termasuk Johor yang kini menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Johor terus menunjukkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan dengan anggaran nilai pelaburan yang berpotensi melepasi RM100 bilion, perkembangan yang disifatkan sebagai rekod baharu untuk negeri itu.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap kesta­bilan ekonomi negara serta hala tuju pembangunan yang lebih tersusun di bawah Kerajaan Madani,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik (LKE) Gemas-Johor Bahru di Stesen KTMB Kempas Baru, di sini semalam.

Berangkat menyempurnakan majlis ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepenti­ngan rangkaian pengangkutan moden termasuk projek pengangkutan elektrik baharu yang bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi setempat.

Katanya, pembangunan infrastruktur itu bukan sekadar projek rel, tetapi turut membabitkan perancangan bersepadu merangkumi pusat ekonomi, kawasan komersial, gerai makanan, perumahan dan pelbagai kemudahan rakyat di kawa­san sekitar stesen.

“Setiap stesen baharu akan dibangunkan secara strategik bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu sekali gus merancakkan aktiviti eko­nomi dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

“Model pembangunan ber­asaskan pengangkutan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) itu akan menjadi antara tunjang utama pembaharuan ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, pengoperasi­an LKE Gemas-Johor Bahru akan menjadi pemangkin utama dalam mengukuhkan Zon Ekonomi Johor-Singapura serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu dan negara secara keseluruhan.

“Hubungan erat serta kerja­sama baik dengan Singapura membolehkan kedua-dua negara memanfaatkan rangkaian pengangkutan moden ini untuk mencetuskan aktiviti ekonomi baharu di wilayah selatan.

“Hasilnya, Johor bakal menerima limpahan pelaburan besar terutama dalam sektor teknologi, logistik, pembuatan pintar dan tenaga baharu.

“Pendekatan Ekonomi Ma­dani menuntut pembangunan yang bukan hanya besar dan gah, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat di semua peringkat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pe­ngangkutan Anthony Loke ber­kata, penyempurnaan projek ini menandakan satu detik pen­ting dalam pembangunan rel negara.

“Majlis hari ini bukan sahaja melambangkan siapnya projek tersebut, tetapi juga mewakili satu pencapaian besar yang mencerminkan komitmen ke­ra­jaan dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk rakyat.

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rak­yat Johor, malah turut menyumbang kepada hala tuju pem­bangunan negara secara keseluruhan,” katanya.

Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru adalah sepanjang 192 kilometer dan KTMB memperkenalkan empat perkhidmatan ETS harian antara KL Sentral dan JB Sentral.

KTMB juga melancarkan pro­mosi diskaun khas 30 peratus untuk tiket bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.

Promosi ini berlangsung dari 12 Disember hingga 11 Januari 2026, dengan 5,000 kod promosi disediakan untuk para pengembara yang menggunakan kod JBBEST, tertakluk kepada terma dan syarat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN