Pemandu lori dipenjara enam bulan, mengaku dua kali berkhalwat

Pemandu lori dipenjara enam bulan, mengaku dua kali berkhalwat

IBRAHIM Bacha diiringi anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkhalwat di rumah kekasihnya pada 11 September lalu dan tengah malam tadi.

Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ibrahim Bacha, 49, selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati berkurung yang mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan Islam berusia 49 tahun yang bukan isteri atau mahramnya di sisi syarak.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Blok D Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong pada pukul 12.05 tengah malam, 11 September 2025.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati mengulangi kesalahan dengan wanita dan tempat sama pada pukul 12.15 tengah malam, 3 Disember 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah memohon hukuman penjara dikenakan kerana kesalahan besar menghampiri zina dan berulang kali dilakukan tertuduh.

Hujahnya, tertuduh juga mempunyai dua lagi rekod kesalahan sama, justeru denda sahaja tidak mencukupi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu tidak dikenakan penjara dengan alasan terpaksa menumpang di rumah kekasihnya kerana tidak mampu mencari rumah sewa kerana pendapatan sebagai pemandu lori tidak tetap.

Tertuduh juga memberitahu merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, namun sedang menunggunya memeluk Islam.

Hakim Mohd. Yunus menegur tertuduh bahawa ia bukanlah alasan untuk tinggal serumah dan melakukan kesalahan berulang, seolah-olah mahu mencabar undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN