KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 2020 susulan tular insiden seorang individu yang tidak dibenarkan memasuki balai polis kerana isu pakaian yang tidak sesuai baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan menambahbaik pekeliling berkenaan termasuk memberi pengecualian kepada perkhidmatan barisan hadapan seperti balai polis dan sektor kesihatan.
“Antara yang dipertimbangkan ialah pengecualian kepada perkhidmatan barisan hadapan seperti kesihatan dan keselamatan, termasuk balai polis daripada peraturan dalam pekeliling tersebut.
“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam penelitian KSN dan pejabat beliau. Kita menjangkakan kenyataan dan pekeliling baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika sidang akhbar mingguan di Parlimen semalam.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan orang awam tidak sepatutnya berdepan dengan sebarang halangan untuk berurusan dengan agensi kerajaan khususnya melibatkan keselamatan.
“Beliau berpandangan dalam konteks keselamatan khususnya di balai polis, individu yang ingin membuat laporan tidak seharusnya dihalang atas alasan berkaitan pakaian.
“Beberapa perkhidmatan utama seperti kesihatan dan keselamatan, termasuk balai polis akan diberi pengecualian,” katanya.
Sebelum ini, seorang wanita dilaporkan dilarang memasuki sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Melaka selepas pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk berada di premis kerajaan.
Susulan insiden itu, Polis Melaka mengingatkan orang ramai supaya mematuhi garis panduan etika pemakaian ketika berurusan di kaunter aduan. – UTUSAN










