WASHINGTON: Ketegangan meningkat antara Benjamin Netanyahu dan penasihat tertinggi Presiden Donald Trump, apabila pasukan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan ‘semakin kecewa’ dengan percubaan Perdana Menteri Israel itu untuk melemahkan proses damai.
Menurut laporan Axios, pasukan pengantara termasuk Naib Presiden, JD Vance, Setiausaha Negara, Marco Rubio, menantu Trump, Jared Kushner dan utusan khas, Steve Witkoff, sangat kecewa dengan Netanyahu, selain percaya beliau sengaja melambatkan perjanjian serta giat mengambil langkah untuk melemahkan gencatan senjata di Gaza.
Seorang pegawai Rumah Putih mendakwa, Netanyahu pada dasarnya sudah kehilangan sokongan pasukan teras Trump, walaupun presiden sendiri masih menyokongnya dan mahu perjanjian itu dijalankan lebih cepat.
Bagaimanapun, pegawai Israel mendakwa Rubio masih selari dengan pendirian Netanyahu berbanding Witkoff dan Kushner.
Netanyahu dilaporkan meragui cadangan yang dikemukakan oleh Witkoff dan Kushner, terutama berkaitan konsep demiliterisasi Gaza, yang merupakan komponen penting dalam rancangan pelbagai fasa.
Menyedari perbezaan pendapat itu, pendekatan Netanyahu dalam pertemuan di Mar-a-Lago pada Isnin adalah untuk membuat rayuan terus kepada Trump dengan harapan memujuk presiden itu mengikut pandangan tegasnya sendiri, dakwa seorang pegawai kanan Israel kepada media tersebut.
Fasa pertama perjanjian, yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, termasuk pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin.
Israel gagal menunaikan sepenuhnya komitmen di bawah perjanjian fasa pertama, terutama menghentikan permusuhan, apabila rejim terus melancarkan serangan yang membunuh sekurang-kurangnya 411 rakyat Palestin dan mencederakan 1,118 orang lain sejak gencatan senjata.
Fasa kedua melibatkan pembentukan jawatankuasa teknokrat sementara untuk mentadbir Gaza, melancarkan usaha pembinaan semula, menubuhkan majlis keamanan, mewujudkan pasukan antarabangsa, pengunduran lebih ramai tentera Israel dari wilayah terkepung serta pelucutan senjata Hamas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula Gaza sekitar AS$70 bilion (RM283 bilion) akibat perang Israel, yang kini meragut hampir 71,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 orang sejak Oktober 2023.










