Nine Flix luas sayap ke Indonesia, perkukuh kerjasama serantau - Utusan Malaysia

Nine Flix luas sayap ke Indonesia, perkukuh kerjasama serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat Indonesia sebagai antara pasaran penting, platform penstriman berasal dari Malaysia, Nine Flix, kini meluaskan kerjasamanya bersama penggiat filem di negara tersebut.

Sebagai langkah awal memperkenalkan jenama Nine Flix di Indonesia, platform ini melancarkan filem Syetan Munafik sebagai simbol pembukaan jaringan kolaborasi rentas negara. Inisiatif ini sekali gus membuka laluan baharu kepada penggiat seni dan kandungan kreatif Asia untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Majlis pelancaran yang berlangsung di CGV Grand Indonesia pada 23 Disember lalu turut dihadiri barisan artis, pembikin filem serta tokoh industri dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus melambangkan era baharu kebangkitan kerjasama kreatif serantau yang semakin matang.

Menurut Pengarah Urusan United Nine Creative Sdn. Bhd., Datuk Mohd Rosdi Shair, kerjasama ini memperlihatkan kemampuan Nine Flix sebagai penggerak utama dalam menjayakan pelancaran tersebut, di samping membawa visi jangka panjang bagi memastikan industri kreatif terus berkembang secara mampan.

“Indonesia dipilih sebagai destinasi negara kedua dalam pengembangan ekosistem Nine Flix di Asia, mengambil kira kekuatan pasaran, kepelbagaian bakat serta sokongan industri yang kukuh.

“Langkah ini dilihat sebagai strategi penting dalam menghubungkan karya kreatif Nusantara ke pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.

Dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan seiring, PT UNC International Indonesia turut memainkan peranan penting sebagai rakan strategik tempatan.

Menerusi pelancaran ini, Nine Flix terus mengukuhkan peranannya bukan sekadar sebagai platform penstriman, malah sebagai pemangkin kepada pembinaan ekosistem industri kreatif Asia yang lebih terbuka, inklusif dan berdaya saing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN