NEW YORK: Netflix bersetuju untuk membeli perniagaan filem dan penstriman, Warner Bros Discovery, dengan nilai AS$72 bilion (RM295 bilion) dalam satu perjanjian besar Hollywood.
Gergasi penstriman itu berjaya membida Warner Bros, mengalahkan pesaing seperti Comcast dan Paramount Skydance selepas pertarungan panjang.
Warner Bros memiliki francais terkenal termasuk Harry Potter dan Game of Thrones, serta perkhidmatan penstriman HBO Max.
Pengambilalihan itu dijangka mewujudkan gergasi baharu dalam industri hiburan, namun perjanjian tersebut masih perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa persaingan.
Ketua bersama Netflix, Ted Sarandos berkata, syarikat penstriman itu ‘amat yakin’ akan mendapat kelulusan pihak berkuasa yang diperlukan dan sedang bergerak ke arah itu.
Beliau berkata, dengan menggabungkan koleksi rancangan dan filem Warner Bros bersama siri Netflix seperti Stranger Things, ia dapat memberikan penonton lebih banyak kandungan yang disukai dan membantu membentuk abad penceritaan seterusnya.
“Warner Bros membentuk abad terakhir hiburan, dan bersama-sama kami boleh membentuk abad seterusnya,” katanya.
Apabila ditanya sama ada HBO patut kekal sebagai perkhidmatan penstriman berasingan, Ketua Bersama lain, Greg Peters berkata, Netflix percaya jenama HBO penting untuk pengguna.
“(Namun) kami rasa terlalu awal untuk membincangkan secara spesifik bagaimana kami akan menyesuaikan tawaran ini untuk pengguna.”
Netflix menjangka akan menjimatkan AS$2 hingga AS$3 bilion, terutama melalui penghapusan pertindihan dalam bidang sokongan dan teknologi perniagaan.
Netflix berkata filem-filem yang dihasilkan oleh Warner Bros akan terus ditayangkan di pawagam, manakala studio televisyen Warner Bros akan kekal bebas untuk menghasilkan kandungan bagi pihak ketiga.
Netflix pula akan terus menghasilkan kandungan eksklusif untuk platformnya sendiri.- BBC










