SEREMBAN: Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dalam nahas di Kilometer 266.8 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kemalangan berlaku pada pukul 7.30 pagi ketika kedua-dua mangsa lelaki itu dalam perjalanan dari Klang ke Melaka.
“Tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang oleh abang terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang jalan.
“Akibat itu, kedua-dua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan kawasan rumput di bahu lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa masing-masing berusia 22 tahun dan 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di badan. – UTUSAN










