MEXICO CITY: Mexico merasmikan siri baharu tarif import terhadap negara-negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengannya.
Langkah yang dilaksanakan Kementerian Ekonomi itu mengenakan tarif sehingga 35 peratus ke atas import dari negara Asia seperti China, India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, yang akan berkuat kuasa mulai esok.
Dekri tersebut menyemak tarif import bagi 1,463 kategori produk yang meliputi pelbagai jenis barangan dalam beberapa industri, termasuk automotif, tekstil, pakaian, plastik, keluli, peralatan rumah, aluminium , mainan, perabot, kasut, barangan kulit, kertas, motosikal dan kaca.
Kementerian itu berkata, langkah tersebut bertujuan melindungi kira-kira 350,000 pekerjaan di seluruh negara dalam sektor sensitif seperti kasut, pakaian, keluli dan pembuatan automotif, selain menyumbang kepada ‘perindustrian semula yang berdaulat, mampan dan inklusif dalam sektor strategik ekonomi Mexico.
Tarif berkenaan diluluskan awal bulan ini oleh Kongres Mexico, yang menegaskan langkah itu tidak ditujukan kepada mana-mana negara tertentu, sebaliknya bertujuan memperkukuh industri yang dianggap strategik kepada ekonomi negara.
Kerajaan Mexico berkata, tarif tersebut bertujuan meningkatkan kandungan domestik dalam rantaian pengeluaran sebanyak 15 peratus, dengan menggalakkan pengeluaran tempatan yang lebih besar serta menggantikan input import dengan alternatif yang dibangunkan dalam negara.
Dasar itu dijangka mewujudkan 1.5 juta pekerjaan dan meningkatkan pelaburan domestik sehingga sebanyak 28 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Bagaimanapun, China mengecam langkah tersebut.
Pada 11 Disember, jurucakap Kementerian Perdagangan China mengutuk pelaksanaan tarif dan menyeru supaya dialog diadakan.
“China sentiasa menentang kenaikan tarif secara unilateral dalam apa jua bentuk dan menggesa Mexico supaya segera membetulkan amalan unilateral dan perlindungan perdagangan yang tersasar,” kata jurucakap itu.- ANADOLU










