JERANTUT: Seorang wanita dari Felda Sungai Tekam Getah di sini yang sebelum ini aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan kini hanya terlantar sejak setahun lalu akibat diserang angin ahmar.
Wanita itu, Rozita Abd. Ghani, 60, rebah ketika mengemas rumah bagi persiapan sambutan Bulan Kemerdekaan pada Ogos tahun lalu sebelum dibawa ke Hospital Jerantut.
Pemeriksaan menunjukkan tekanan darahnya melonjak menyebabkan pembuluh darah pecah dan memaksa doktor menjalankan prosedur kecemasan dengan membuang tempurung kepala sebelah kanan bagi mengurangkan tekanan pada otak.
Kini, Rozita bukan sahaja hilang upaya seluruh anggota badan malah tidak lagi mampu menelan secara normal sehingga doktor terpaksa menebuk satu saluran di leher untuk menyalurkan susu khas sebagai makanan hariannya.
Suaminya, Abdul Halim Abdul Hamid, 65, berkata, keadaan Rozita semakin membimbangkan kerana tidak mampu mengeluarkan kahak sendiri dan memerlukan mesin sedut kahak sebagai alat bantu pernafasan harian.
“Mesin sedut kahak sangat penting. Jika kahak tidak disedut segera, dia boleh lemas. Setiap hari saya perlu pantau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, Rozita kini bergantung sepenuhnya kepada penjagaan khusus dengan minum susu khas bernilai RM160 setin, mandi hanya dilap dengan tisu basah dan memakai lampin pakai buang sepanjang masa.
“Saya menjaganya 24 jam sehari. Anak-anak semua sudah berkeluarga dan tinggal di daerah lain dan datang setiap hujung minggu,” katanya.
Menurut Abdul Halim, kos keperluan bulanan mencecah lebih RM3,000 merangkumi 15 tin susu khas, lampin, tisu basah, ubat-ubatan serta penyelenggaraan mesin sedut kahak.
Kos rawatan meningkat apabila dia perlu menyewa kenderaan untuk membawa isterinya ke Klinik Kesihatan Felda Jengka 8 dan menghadiri pemeriksaan pakar bulanan di Hospital Jengka.
“Pendapatan saya sebagai pentadbir kebun sawit yang dibahagi dengan adik-beradik memang tidak cukup. Saya semakin bimbang tidak mampu sediakan semua keperluan isteri,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Abdul Halim di 1560-2001-0408 atau menghubunginya di nombor 013-4372983.-UTUSAN.










