GEORGE TOWN: MCA tetap kekal sebagai parti yang relevan dalam landskap politik negara khususnya dalam meraih sokongan masyarakat Cina bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, pada masa ini, rakyat semakin sedar bahawa alternatif yang ditawarkan oleh parti lain tidak semestinya membawa kestabilan atau kecekapan pentadbiran seperti yang diharapkan selepas 2018.
“Isu-isu utama yang melibatkan kepentingan masyarakat Cina menjadi faktor besar perubahan sentimen politik antaranya kelembapan ekonomi, perluasan skop SST, kelewatan bayaran balik cukai serta cadangan caruman KWSP kepada pekerja asing yang menimbulkan kebimbangan dalam sektor perniagaan.
“Isu pelaksanaan e-invois yang dianggap membebankan peniaga kecil serta kebimbangan terhadap masa depan pendidikan Cina turut menghakis keyakinan sebahagian pengundi terhadap DAP sebagai parti pemerintah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas laporan media bahawa MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan bersama Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu terutama DAP.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, parti itu bersedia bergerak solo jika BN terus menyokong dasar kerajaan membebankan rakyat yang dilihat melemahkan kedudukan dan bercanggah dengan pendirian parti.
Teik Cheng yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang berkata, semua perkembangan tersebut membuka ruang kepada MCA untuk kembali memainkan peranan lebih besar dalam memperbetulkan dasar-dasar yang dianggap menekan rakyat.
“MCA kekal konsisten memperjuangkan dasar sederhana dan berasaskan keperluan rakyat tanpa terjebak dalam polemik perkauman,” katanya.-UTUSAN.










