MBAS hanya tambah RM8.2j hasil melalui cukai

MBAS hanya tambah RM8.2j hasil melalui cukai

ABDUL GAFAR YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak RM8.2 juta tambahan pendapatan melalui kutipan cukai taksiran atau cukai pintu diunjurkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada tahun hadapan susulan pelaksanaan nilaian baharu selepas 32 tahun.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pihaknya menjangka dapat mengutip hasil kira-kira RM45.2 juta berbanding RM37 juta ketika ini setelah mene­rima bantahan awam daripada pemilik pegangan pada sesi pendengaran awam sebelum ini.

Katanya, pihak berkuasa Negeri (PBN) pada 10 Disember lalu turut memutuskan untuk memberi diskaun 10 peratus kepada 82,309 pemilik pega­ngan yang mengalami kenaikan cukai yang mewakili 86.3 peratus daripada keseluruhan hartanah di kawasan MBAS.

“Dengan keputusan ini, berbeberapa perubahan berlaku dalam unjuran pendapatan bagi 2026 berbanding anggaran RM57 juta sebelum bantahan dilakukan dan setelah pendengaran awam berlaku penurunan kepada RM49 juta.

“Jumlan itu kita angkat kepada PBN yang kemudian memutuskan supaya MBAS memberi diskaun 10 peratus kepada yang mengalami kenaikan cukai tahun depan.

“Maka unjuran pendapatan MBAS daripada cukai pintu turun sekali lagi daripada RM49 juta kepada RM45.2 juta. Jadi dengan perbezaan antara RM45.2 juta dan RM37 juta, kenaikan cukai yang dijangka menjadi hasil MBAS pada 2026 hanya RM8.2 juta sahaja,” katanya semalam.

Beliau namun berkata, meskipun dengan jangkaan hasil berkenaan, MBAS masih menanggung tunggakan cukai pintu berjumlah RM29 juta yang direkodkan sehingga semalam.

Ditanya realiti dihadapi MBAS dengan pemberian diskaun tersebut serta tunggakan yang masih berlaku, beliau mengakui pihaknya berdepan cabaran besar dalam menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Ia memberi cabaran kerana setiap bulan kami perlu ber­belanja secara tetap RM6 juta yang bersamaan RM72 juta setahun dan hasil selain cukai pintu iaitu sistem parkir, sewa premis, pengiklanan, pe­lesenan dan lain-lain hanya berjumlah sekitar RM25 juta.

“Secara kasar hasil cukai pintu RM45 juta dan pendapatan lain RM25 juta bersamaan RM70 juta yang bermakna kami kekurangan RM2 juta tanpa mengambil kira tunggakan-tunggakan bayaran yang ada,” katanya.

Abdul Gafar berkata, MBAS akur dengan keputusan kerajaan negeri yang meminta pihaknya bekerja lebih keras untuk memastikan hasil-hasil berkaitan dapat dikutip bagi memulangkan dalam bentuk perkhidmatan.

Pada 31 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan ke­gelisahan sebahagian daripada 95,354 pemilik pegangan yang terlibat dalam penilaian semula cukai taksiran oleh MBAS.

Mereka mendakwa, berlaku kenaikan mendadak kepada cukai taksiran setiap hartanah yang dimiliki setelah kali ter­akhir dinilai pada 1993 dengan menggunakan kaedah pengiraan nilai sewa tahunan.

Namun MBAS kali ini menggunakan kaedah berasaskan nilai tambah atau nilai pasaran sesuatu hartanah, berbanding nilai sewa tahunan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×