PETALING JAYA: Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 di Serdang semalam menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
Kedua-duanya hadir meraikan kejayaan anak keempat mereka, Nur Athira Basyirah, 23, yang bergelar graduan selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains, UPM.
Aminuddin berkata, beliau bersyukur dan bangga atas kejayaan anaknya itu serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga akademik UPM.
“Saya mengucapkan tahniah kepada anak saya dan semua graduan yang berjaya hari ini serta pihak pengurusan, pentadbiran dan pensyarah yang telah mendidik mereka. Saya mendoakan UPM terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan golongan belia supaya tidak mengenepikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.
“Apa yang kita dapat hari ini tidak wajar disia-siakan dan percayalah ilmu akan sentiasa memberi manfaat walau bidang kerja kita berbeza dengan apa yang dipelajari. Pengurusan ilmu itu sendiri memberi nilai besar untuk kehidupan kita,” katanya.
Sementara itu, Nur Athira Basyirah berkata, pilihannya melanjutkan pengajian di UPM adalah kerana reputasi universiti itu sebagai antara yang terbaik di Malaysia serta peluang untuk mendalami pendidikan fizik.
Menurutnya, walaupun bidang fizik sering dianggap subjek yang mencabar dia melihatnya dengan cara berbeza.
“Antara semua subjek sains saya paling minat adalah fizik malah ketika menjalankan latihan industri di sekolah, saya lebih mudah mengajar fizik kerana subjek ini menarik serta berkait dengan kehidupan kita,” katanya.
Katanya, minatnya dalam bidang pendidikan banyak dipengaruhi oleh ibunya yang merupakan seorang guru dan menjadi mentor utama dalam membentuk hala tuju akademiknya.
“Dengan minat mendalam terhadap sains dan pendidikan saya berhasrat meneruskan kerjaya sebagai pendidik mencurah kembali ilmu dan peluang yang saya ada ini kepada generasi masa kini,” katanya.-UTUSAN.










