PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan dalam perbincangan berterusan mengenai Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) bahawa sebarang langkah pada masa depan perlu memastikan pergerakan penerbangan antara kedua-dua negara lancar dan tanpa sebarang halangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menghargai keperluan Singapura untuk memastikan aliran penerbangan yang selamat dan efisien ke Lapangan Terbang Changi dan Seletar, manakala Malaysia pula memerlukan pergerakan udara yang lancar ke Sabah dan Sarawak.
“Kita memahami aliran udara yang cekap dan selamat ke Changi dan Seletar perlu mempunyai jaminan sama seperti Malaysia memerlukan aliran bebas ke timur, termasuk ke Sabah dan Sarawak.
“Sebarang aturan yang dibuat mestilah tidak menjejaskan pergerakan trafik udara. Jika prinsip ini diterima, saya yakin kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia–Singapura ke-12.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan berterusan di peringkat pemimpin telah membuahkan kemajuan dalam menangani isu FIR yang sudah lama tertangguh.
“Usaha ini penting bagi memastikan kedua-dua negara mencapai penyelesaian bagi beberapa isu yang masih belum selesai,” katanya.
Mengulas isu sempadan laut, Anwar berkata, Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama secara konstruktif untuk mencari penyelesaian yang baik.
Katanya, pendirian ini telah dijelaskan kepada Perdana Menteri Singapura serta anggota Kabinet dan pegawai yang terlibat, dengan menekankan bahawa kedua-dua negara jiran seiring dalam isu serantau dan perdagangan.
“Memang isu ini kompleks tetapi dengan komitmen yang jelas untuk menyelesaikan perkara ini, saya percaya kemajuan boleh dicapai. Kita perlu berusaha ke arah penyelesaian terbaik.
“Walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, sekurang-kurangnya ada kemajuan sedikit. Kerumitan isu ini tidak seharusnya menghalang langkah positif bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan unik dengan Singapura menerusi pelbagai bidang termasuk diplomatik, ekonomi, perdagangan, budaya dan pendidikan.
Sementara itu, Singapura menyambut baik keputusan Malaysia meluluskan cadangan untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, pihaknya gembira Malaysia bersetuju secara rasmi dengan cadangan Singapura membuka konsulat di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










