Mahkamah benarkan Texas guna peta pilihan raya baharu

Mahkamah benarkan Texas guna peta pilihan raya baharu

LANGKAH Texas untuk mengubah semula sempadan daerah pilihan raya mencetuskan perlumbaan bagi negeri lain untuk melakukan perkara sama.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan Texas menggunakan semula sempadan daerah Kongres yang diubah untuk pilihan raya pertengahan penggal 2026, sekali gus meningkatkan peluang Republikan di bawah Presiden Donald Trump untuk mengekalkan kawalan Dewan Perwakilan.

Ia juga menangguhkan keputusan mahkamah rendah sebelum ini yang mendapati peta disokong Trump itu, secara salah menggunakan faktor kaum dalam menetapkan sempadan daerah.

Peta baharu itu mewujudkan lima daerah Dewan Perwakilan baharu di Texas yang dijangka memihak kepada Republikan, menyukarkan lagi Demokrat untuk memenangi kawalan Kongres serta memberi tekanan terhadap kuasa Trump.

Mahkamah, yang mempunyai majoriti konservatif 6-3, mengeluarkan keputusannya dalam perintah yang tidak ditandatangani. Tiga hakim liberal mahkamah itu tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Setakat ini, Republikan memegang majoriti tipis di kedua-dua dewan Kongres.

Sekiranya kawalan Dewan Perwakilan atau Senat beralih kepada Demokrat dalam pilihan raya November 2026, ia bakal menjejaskan agenda perundangan Trump dan membuka ruang kepada siasatan kongres yang diketuai Demokrat terhadap presiden.

Walaupun kebenaran itu secara teknikal hanya menangguhkan sementara keputusan mahkamah rendah, hakikatnya ia memastikan peta pilihan raya yang memihak Republikan digunakan bagi pilihan raya pertengahan penggal 2026.

Langkah Texas untuk mengubah semula sempadan daerah pilihan raya mencetuskan perlumbaan bagi negeri lain untuk melakukan perkara sama, berbeza daripada amalan biasa yang hanya melakukan penyusunan semula setiap sedekad.

California, yang dikuasai Demokrat, meluluskan peta pilihan raya baharu yang turut mewujudkan lima daerah, dijangka memihak kepada parti berhaluan kiri.

Persempadanan tersebut dicabar di mahkamah oleh Republikan California dalam satu saman yang disokong pentadbiran Trump.

Republikan di Carolina Utara juga mengubah semula peta negeri itu, sementara usaha sama sedang dijalankan di Indiana, Missouri serta beberapa negeri lain.- AFP/AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN