SYDNEY: Seorang lelaki Australia ditahan selepas didakwa memuat naik mesej di media sosial yang menyokong serangan beramai-ramai di Pantai Bondi, baru-baru ini.
Suspek, Martin Thomas Glynn, 39, didakwa atas tuduhan ancaman perkauman, memiliki senjata terlarang dan gagal menyimpan bahan berkaitan dengan betul di Mahkamah Majistret Fremantle, Australia Barat semalam.
Menurut media tempatan, polis menyerbu kediamannya di Perth pada Selasa, merampas enam senjata berlesen, 4,000 butir peluru serta bahan anti-Yahudi.
Dalam satu hantaran di media sosial, dia didakwa menyatakan ‘sokongan 100 peratus’ terhadap serangan beramai-ramai pada 14 Disember di sebuah festival Yahudi di Pantai Bondi, yang mengorbankan 15 nyawa.
Glynn dilaporkan memberitahu mahkamah, dia tidak berniat mencederakan sesiapa dan hanya cuba membandingkan serangan Bondi dengan kematian rakyat Palestin di Gaza.
Dia ditahan sehingga perbicaraan seterusnya pada Februari, menurut media tempatan.
Pesuruhjaya Polis Australia Barat, Col Blanch berkata, lelaki itu dipercayai bukan sebahagian daripada mana-mana rangkaian.
“Kami percaya ini adalah individu yang membuat komen dalam talian, dan kami masih menilai tahap ancaman daripada individu tersebut,” katanya kepada wartawan.
Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai penangkapan itu.
“Tiada tempat di Australia untuk antisemitisme, kebencian dan ideologi ganas. Saya mengucapkan terima kasih atas usaha Polis WA dalam mengesan individu ini dengan cepat dan bertindak segera,” katanya dalam satu kenyataan.- AFP










