LONDON: Lebih 20 peratus video yang disyorkan oleh algoritma YouTube kepada pengguna baharu dikenal pasti sebagai ‘AI slop’ atau kandungan berkualiti rendah yang dijana kecerdasan buatan (AI) semata-mata untuk meraih tontonan, menurut satu kajian terbaharu.
Syarikat penyuntingan video Kapwing meninjau 15,000 saluran YouTube paling popular di dunia, iaitu 100 saluran teratas bagi setiap negara, dan mendapati 278 daripadanya hanya memuat naik kandungan AI slop.
Secara keseluruhan, saluran-saluran AI slop ini mengumpul lebih 63 bilion tontonan dan 221 juta pelanggan, dengan anggaran menjana sekitar AS$117 juta (RM473 juta) setahun, menurut kajian berkenaan.
Para penyelidik turut mencipta akaun YouTube baharu dan mendapati 104 daripada 500 video pertama yang disyorkan dalam suapan akaun tersebut merupakan AI slop.
Satu pertiga daripada 500 video itu diklasifikasikan sebagai ‘brainrot’, iaitu kategori yang merangkumi AI slop dan kandungan berkualiti rendah lain yang dihasilkan untuk perhatian pengguna.
Dapatan ini memberi gambaran tentang industri yang berkembang pesat dan semakin memenuhi platform media sosial utama daripada X hingga Meta dan YouTube, sekali gus membentuk era baharu kandungan digital yang terpisah daripada konteks, bersifat ketagihan dan merentasi sempadan antarabangsa.
Analisis Guardian awal tahun ini mendapati hampir 10 peratus saluran YouTube yang berkembang paling pantas terdiri daripada AI slop, dengan meraih jutaan tontonan walaupun usaha platform itu untuk mengekang kandungan ‘tidak tulen’.
Saluran-saluran yang dikenal pasti oleh Kapwing ini diedarkan dan ditonton secara global.
Di Sepanyol, sekitar 20 juta orang iaitu hampir separuh daripada populasi negara itu mengikuti saluran AI yang sedang tular.
Saluran AI turut mempunyai 18 juta pengikut di Mesir, 14.5 juta di Amerika Syarikat dan 13.5 juta di Brazil. – AGENSI










