Korea Utara hantar tentera bersihkan periuk api di Russia

Korea Utara hantar tentera bersihkan periuk api di Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara buat pertama kali mengaku menghantar tenteranya ke Russia untuk membersihkan periuk api di wilayah Kursk awal tahun ini, menurut ucapan pemimpin Kim Jong Un yang disiarkan media kerajaan pada Sabtu.

Pengakuan itu dibuat ketika agensi perisikan Korea Selatan dan Barat melaporkan Pyongyang menghantar ribuan tentera bagi menyokong Moscow dalam pencerobohan hampir empat tahun Russia ke atas Ukraine.

Penganalisis berkata, Russia sebagai balasan memberikan bantuan kewangan, teknologi ketenteraan, bekalan makanan serta tenaga kepada Korea Utara, sekali gus membolehkan negara yang terasing secara diplomatik itu mengelak sekatan antarabangsa yang ketat terhadap program nuklear dan peluru berpandunya.

Memuji kepulangan rejimen kejuruteraan, Jong Un berkata, mereka menulis ‘surat ke kampung halaman ketika waktu rehat operasi pembersihan periuk api’, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Sembilan anggota rejimen itu terkorban semasa pengerahan 120 hari yang bermula pada Ogos, kata Jong Un dalam ucapannya pada majlis sambutan semalam, lapor KCNA.

Beliau menganugerahkan penghormatan negara kepada mereka yang terkorban bagi ‘menambahkan pencapaian’ terhadap keberanian mereka.

“Kesemua anda, sama ada pegawai mahupun anggota, mempamerkan keberanian luar biasa dengan mengatasi beban mental dan fizikal yang sukar dibayangkan hampir setiap hari,” kata Jong Un.

Menurutnya, pasukan itu berjaya ‘melakukan satu keajaiban dengan menukar zon bahaya yang luas menjadi kawasan selamat dan terjamin dalam tempoh kurang daripada tiga bulan’.

Gambar yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan Kim tersenyum memeluk tentera yang pulang, sebahagiannya kelihatan cedera dan berada di kerusi roda, pada majlis di Pyongyang pada Jumaat.

Seorang daripada mereka kelihatan jelas terharu apabila Kim memegang kepalanya dan tangannya semasa duduk di kerusi roda dengan pakaian seragam tentera.

Gambar lain menunjukkan Kim menenangkan keluarga mangsa yang terkorban dan berlutut di hadapan potret seorang tentera yang gugur untuk memberi penghormatan, meletakkan apa yang kelihatan seperti pingat dan bunga di sisi gambar mangsa.

Pada April, Korea Utara mengaku menghantar tenteranya untuk menyokong Russia dan mengesahkan anggota yang terkorban dalam pertempuran.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN