SEOUL: Pengecaman wajah akan diwajibkan apabila menyediakan telefon pintar baharu di Korea Selatan bermula hari ini, lapor media tempatan.
Di bawah peraturan itu, pengguna mesti mengesahkan identiti mereka melalui pengecaman wajah apabila membeli telefon pintar baharu, sama ada dalam talian atau secara bersemuka, menurut pihak berkuasa berkaitan.
Keperluan itu terpakai kepada tiga syarikat telekomunikasi utama negara, SK Telecom, KT dan LG Uplus, serta syarikat kos rendah.
Sebelum ini, pengguna hanya dikehendaki menunjukkan kad pengenalan untuk mengaktifkan telefon pintar.
Di bawah sistem yang disemak semula, langkah tambahan ditetapkan iaitu pengguna mesti mengambil gambar wajah mereka melalui aplikasi pengesahan PASS.
Kerajaan berkata, langkah itu bertujuan mencegah jenayah seperti penipuan suara atau pesanan teks mudah alih, dengan sering dilakukan menggunakan telefon pintar yang diaktifkan dengan kad pengenalan dicuri atau dipalsukan.
Susulan program rintis melibatkan 43 syarikat telekomunikasi kos rendah dan tiga pengendali utama, pihak berkuasa merancang untuk mengembangkan sistem itu kepada syarikat kos rendah lain bermula 23 Mac 2026.
Menjawab kebimbangan mengenai pengumpulan atau kecurian data wajah, pihak berkuasa dan pengendali telekomunikasi menegaskan maklumat wajah tidak akan disimpan atau digunakan untuk tujuan lain selain pengesahan identiti.- AGENSI










