KANGAR: Seorang polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan kemalangan meragut nyawa seorang remaja di Jalan Persiaran Wawasan akhir bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Zulhairi Shunazar Abdul Shukor, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Zulhairi didakwa telah memandu sebuah motopikap tanpa kecermatan dan perhatian sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal, Aliff Noorhakim Alijesree,25.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah memandu sebuah motopikap dengan merbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Muhammad Firdaus Aiman Zainon,24.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 25 November lalu di Jalan Persiaran Wawasan, berhadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), sekitar pukul 10.20 malam.
Untuk pertuduhan pertama, Muhammad Zulhairi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan serta boleh hilang kelayakan lesen memandu oleh mahkamah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan lebih RM50,000 serta boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan lebih 10 tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor S. Mageswaran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hasnor Arysha Hamdan.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua pula dikenakan jaminan sebanyak RM4,000, selain lesen digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua kes selain lesen digantung sehingga kes selesai dan sebutan semula kes pada 28 Januari depan. Tertuduh membayar jaminan itu.-UTUSAN










