‘Kita harungi bersama lautan bergelora’ Abu Bakar sedia lantik tiga bekas ADUN Pas sebagai Exco

‘Kita harungi bersama lautan bergelora’ Abu Bakar sedia lantik tiga bekas ADUN Pas sebagai Exco

MOHD. Ridzuan Hashim, Saad Seman dan Fakhrul Anwar Ismail.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah sedia mengharungi ‘lautan bergelora’ bersama-sama tiga wakil rakyat yang dikosongkan kerusi mereka oleh Pas di dalam pentadbiran kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau sedia membuka ruang kepada Fakhrul Anwar Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping) membarisi senarai Exco kerajaan negeri baharu jika ketiga-tiga mereka dapat kembali menduduki kerusi masing-masing.

“Kita tidak menolak kemungkinan membawa tiga ADUN Pas yang diberhentikan keahliannya oleh Pas sebelum ini ke dalam barisan Exco sekiranya dapat kembali semula sebagai ADUN Bebas.

“Sekiranya tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku serta tiga ADUN yang diberhentikan keahlian oleh Pas itu juga kembali menduduki semula kerusi mereka, maka kita akan buat keputusan untuk membentuk satu kumpulan yang baik.

“Bererti di sini, ruang dan peluang akan diberikan kepada mana-mana ADUN Bebas untuk berada dalam barisan ini,” katanya di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan bermesyuarat minggu depan berhubung berkemungkinan pelaksanaan PRK bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis susulan kekosongan luar jangka yang dikemukakan oleh Speaker DUN.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima notis pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi berkenaan.

Ketiga-tiga ADUN Pas tergugur keahlian selepas bersama lima yang lain dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan akuan bersumpah menyatakan penolakan sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Pas hari ini memutuskan ADUN daripada parti itu tidak akan menganggotai baraan Exco kerajaan negeri yang akan dibentuk Abu Bakar, malah semua EXCO sedia ada daripada parti itu akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring peletakan jawatan Mohd Shukri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN