GAZA: Rakyat Gaza kini bergelut dengan banjir dan risiko runtuhan selepas hujan lebat serta ribut melanda wilayah itu, menenggelamkan khemah penduduk dan merosakkan struktur yang dijadikan tempat perlindungan sementara.
Sejak beberapa hari, ahli meteorologi memberi amaran hujan lebat dan angin kencang mungkin melanda Gaza sepanjang hujung minggu, yang berisiko menyebabkan banjir kilat serta kerosakan.
Bagaimanapun, Gaza tidak bersedia dengan infrastruktur, pusat perlindungan atau saliran yang berfungsi untuk menghadapi ribut Byron.
Pihak Berkuasa Pertahanan Awam menerima lebih 2,500 panggilan bantuan sepanjang Khamis daripada penduduk yang dipindahkan selepas khemah mereka ditenggelami banjir akibat ribut.
Tiga bangunan, yang rosak akibat pengeboman Israel sebelum ini, turut runtuh di beberapa lokasi berbeza di Gaza City selepas hujan lebat melanda wilayah berkenaan.
Pihak Pertahanan Awam melaporkan bangunan tersebut menempatkan sejumlah rakyat Palestin yang mencari perlindungan kerana kekurangan tempat tinggal sementara. Tiada kecederaan dilaporkan, menurut Al Jazeera Arabic.
Pihak berkuasa memberi amaran beberapa bangunan yang rosak dan usang, menjadi tempat perlindungan keluarga Palestin, berisiko runtuh lagi, berikutan ribut yang menyebabkan hakisan tanah serta retakan tambahan pada dinding.
Sekurang-kurangnya 761 tapak yang menempatkan kira-kira 850,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal berisiko banjir, menurut organisasi kemanusiaan Majlis Pelarian Norway.
Kelmarin, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan akibat hipotermia yang disebabkan oleh kesejukan melampau di sebuah kem pemindahan di Khan Younis, selatan Gaza.
Ibu bapa bayi tersebut memberitahu CNN, khemah mereka ditenggelami banjir sepanjang malam.
“Dia sihat dan saya menyusukannya malam tadi. Tiba-tiba saya dapati dia kesejukan dan menggigil,” kata ibu bayi itu, Hejar Abu Jazar.
PERLINDUNGAN MINIMUM
Pihak berkuasa perbandaran Gaza City menasihatkan penduduk supaya mengelak berada di kawasan rendah, kerana hujan berisiko memindahkan semula ribuan keluarga dari tempat perlindungan sementara tanpa alternatif yang sesuai.
“Memandangkan keadaan yang serius, pihak perbandaran sekali lagi merayu kepada masyarakat antarabangsa serta organisasi kemanusiaan dan bantuan untuk segera campur tangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebanyakan kawasan yang menempatkan penduduk dipindahkan berada lebih rendah daripada paras jalan, menyebabkan air hujan bertakung di sekitar dan dalam khemah, kata wakil Medical Aid for Palestinians, Haytham Herzallah, pada Rabu.
“Keadaan menjadi lebih buruk akibat limpahan air kumbahan, mendedahkan orang ramai kepada air hujan dan air kotor, sementara mereka tinggal di tempat perlindungan yang menawarkan perlindungan minimum daripada sejuk serta banjir.
“Tiada bahan bantuan yang masuk ke Gaza sejak gencatan senjata untuk memperbaiki keadaan hidup. Malah khemah yang tiba direka untuk keadaan padang pasir, dan tidak melindungi daripada hujan atau cuaca sejuk,” katanya.
Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Muneer al-Bursh menyifatkan ribut itu sebagai tragedi keempat menimpa penduduk Gaza, di samping pembunuhan, pemindahan paksa dan pengasingan tanpa masa depan.
Setiap ribut musim sejuk yang melanda Gaza menambahkan penderitaan, kerana penduduk tinggal di rumah yang musnah dan khemah koyak tanpa dinding atau pemanas.
“Sejuk dan hujan menjadi ancaman kesihatan secara langsung di tengah kesesakan dan kekurangan makanan serta bekalan perubatan,” katanya.
Pertahanan Awam Gaza merekodkan ‘keseluruhan kem’ dari utara hingga selatan ditenggelami banjir akibat hujan berterusan pada Khamis.
Rakaman CNN dari sebuah kem di Deir al-Balah, tengah Gaza, menunjukkan puluhan khemah usang tenggelam dalam lumpur dan tanah yang basah.
“Malam adalah paling sukar. Khemah ditenggelami air ketika anak-anak tidur. Kami terpaksa berjaga sepanjang malam untuk mengeluarkan air,” menurut seorang penduduk, Um Ibrahim Ubeid.
SEKATAN BANTUAN KEMANUSIAAN
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran hujan musim sejuk sekali lagi mencetuskan penderitaan baharu kepada Gaza.
Katanya, jalan dan khemah yang dinaiki air ‘menjadikan keadaan hidup yang sedia teruk lebih berbahaya’, dengan persekitaran sejuk, sesak serta tidak bersih meningkatkan risiko penyakit berjangkit.
“Penderitaan ini boleh dielakkan dengan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, termasuk sokongan perubatan dan tempat perlindungan yang sesuai. Ini akan membantu keluarga menghadapi musim sejuk dengan selamat,” kata UNRWA.
Majlis Pelarian Norway melaporkan hanya sedikit bekalan tempat perlindungan memasuki Gaza, walaupun sudah dua bulan gencatan senjata yang diusahakan AS berkuat kuasa.
“Disebabkan sekatan yang teruk, PBB dan organisasi bantuan antarabangsa hanya berjaya membawa masuk 15,600 khemah untuk 88,000 orang, sementara 1.29 juta masih memerlukan tempat perlindungan untuk menghadapi musim sejuk,” katanya.
Katanya, organisasi bantuan antarabangsa masih disekat daripada membawa bantuan dan hampir 4,000 palet bahan perlindungan ditolak.
Gaza sangat memerlukan jentera berat, peralatan dan barang perlindungan untuk mencegah banjir besar, kata organisasi kemanusiaan itu.










