ACEH SELATAN: Bupati Aceh Selatan, Mirwan MS, dilaporkan berangkat ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah tanpa mendapat kelulusan Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, walaupun banjir dan tanah runtuh melanda sebahagian wilayah itu.
Jurucakap kerajaan Aceh, Muhammad MTA berkata, Mirwan mengemukakan permohonan pada 24 November untuk perjalanan segera ke luar negara, namun permohonan itu ditolak berikutan banjir, tanah runtuh dan bencana kecemasan hidrometeorologi yang sedang berlaku di seluruh Aceh.
“Gabenor mengeluarkan jawapan bertulis pada 28 November berhubung permohonan itu tidak dapat diluluskan,” kata MTA.
Aceh Selatan antara daerah paling teruk terjejas, dan Mirwan sendiri sebelum ini mengisytiharkan darurat tempatan sebagai tindak balas terhadap bencana tersebut.
Muhammad berkata, gabenor mengarahkan pegawai untuk mengesahkan laporan perjalanan Mirwan, tetapi percubaan menghubungi pentadbir Aceh Selatan setakat ini tidak berjaya.
“Jika disahkan beliau meninggalkan negara, gabenor akan mengeluarkan teguran rasmi,” katanya.
Muzakir pula dilaporkan berada di lapangan menyelaras usaha menangani bencana, sambil mengekalkan komunikasi dengan pos komando wilayah dan agensi berkaitan sepanjang operasi penyelamatan.
Beberapa gambar tular di media sosial minggu ini menunjukkan Mirwan dan keluarganya berada Tanah Suci, mencetuskan kritikan netizen yang menuduh beliau meninggalkan penduduk ketika banjir melanda 11 daerah kecil di Aceh Selatan.
Jurucakap kerajaan Aceh Selatan, Denny Herry Safputra, mempertahankan Mirwan kononnya beliau dan isterinya berangkat ke Mekah selepas keadaan di daerah itu sebahagian besarnya stabil, dengan paras air surut di kawasan terjejas di Bakongan Raya serta Trumon Raya.
Beliau mendakwa, Mirwan juga sempat melawat beberapa lokasi yang terjejas banjir sebelum berangkat ke luar negara dan turut membantu mengagihkan bantuan kerajaan.
“Beliau sendiri memeriksa keadaan di lapangan dan memastikan bantuan sampai kepada mangsa,” kata Denny.
Banjir dan tanah runtuh menyebabkan kemusnahan teruk di seluruh Aceh. Pihak berkuasa wilayah melaporkan seramai 345 orang terkorban, manakala 174 orang masih hilang.- AGENSI










