PETALING JAYA: Mesyuarat pertama berhubung penyerahan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka diadakan pertengahan Januari depan bagi membincangkan kaedah serta ‘parameter’ pelaksanaannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara yang dituntut kerajaan Sabah itu telah dimuktamadkan dan bakal dilaksanakan setelah proses berkaitan diselesaikan.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tetap komited untuk menyerahkan kepada Sabah 40 peratus hasil bersih yang dikutip dari negeri itu seperti yang dijelaskan dalam Jemaah Menteri sebelum ini.
Katanya, mesyuarat awal di peringkat jawatankuasa teknikal sudah diadakan di antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bulan lalu.
“Jadi mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari 2026 mengenai kaedah dan parameter supaya benar-benar memberi keyakinan kepada rakyat Sabah.
“Ini bukan soal cari dalil terutamanya dalam musim pilihan raya sebelum ini dan juga kadang-kadang sesetengah pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sinis, kita buat apapun mereka terus sinis.
“Tapi saya nak beritahu, rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri pun ada. Kita harus lihat secara tertentu, saya tak boleh kata kita serah pada Januari, kita selesaikan parameternya dulu, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam setahun,” katanya berucap di Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Anwar berkata, hasil perbincangan akan diserahkan kepada jawatankuasa teknikal dan Jawatankuasa Persekutuan-Negeri sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri dan kerajaan Sabah.
“Tapi, apa yang sudah muktamad ialah Kerajaan Persekutuan seperti mana yang saya sebut dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkannya kepada Sabah,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan berhubung tuntutan 40 peratus itu tidak sempat diadakan pada bulan ini disebabkan kesuntukan masa, selain empat jawatan menteri masih kosong dan perlu diisi terlebih dahulu.
“Jadi beri ruang kepada saya satu ke dua minggu ini memikir dan berbincang dengan ketua parti termasuk dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mendengar pandangan mereka sebelum saya muktamadkan,” katanya.
Katanya lagi, isu lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan terus dibincang dan dilaksanakan di bawah majlis sedia ada yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Belum ada dalam sejarah penubuhan Malaysia, kita ada komitmen dan pelaksanaan jauh lebih cepat iaitu sebanyak sembilan perkara telah kita putuskan.
“Ada beberapa yang lain lagi kita akan rujuk dan bawa kepada Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah kemudian luluskan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan Parlimen sekiranya perlu pindaan undang-undang.
“Penyerahan kuasa elektrik kepada Sabah sebelum ini terpaksa dilakukan dengan meminda undang-undang. Begitu juga soal wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga membabitkan pindaan undang-undang Parlimen. Itu semua kita boleh lakukan,” katanya. – UTUSAN










