Kesetiaan Bung Moktar kepada UMNO tiada tolok banding

Kesetiaan Bung Moktar kepada UMNO tiada tolok banding – Ismail Sabri

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai sahabat karib beliau yang banyak dikongsi memori bersama sama ada dalam parti, kerajaan dan Dewan Rakyat.

Beliau juga mengganggap Allahyarham sebagai seorang yang mempunyai semangat perjuangan yang kental, berdedikasi dan tidak mengenal erti lelah.

Bekas Perdana Menteri itu menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu pada awal pagi hari ini.

“Ketika ramai sahabat meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2018 (PRU18), Allahyarham kekal dan tidak berganjak sedikit pun daripada perjuangannya untuk mempertahankan parti. Kesetiaan beliau tiada tolok bandingnya.

“Kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai rakyat Sabah malah seluruh Keluarga Malaysia kerana negara kehilangan seorang tokoh pemimpin yang lantang dan berani membela suara rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.

Berita sedih pemergian dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar melalui hantaran di Facebook.

Difahamkan, Allahyarham menghadapi masalah kesihatan kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam.

Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN