Kerjasama PNB, GLIC terajui GEAR-uP lonjak syarikat Bumiputera

Kerjasama PNB, GLIC terajui GEAR-uP lonjak syarikat Bumiputera

DATUK Rick Ramli ketika ditemui di pejabatnya di Merdeka 118, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program 10 Juara Bumiputera di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) kini menjadi tumpuan utama Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkasa syarikat Bumiputera mencapai skala yang besar dan daya saing lebih tinggi.

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli berkata, PNB memberi tumpuan kepada Program 10 Juara Bumiputera dan pelaksanaan GEAR-uP sebagai rangka kerja menyeluruh untuk merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi kerjasama strategik antara PNB, GLIC dan GLC.

“Inisiatif ini dilaksanakan dalam kerangka GEAR-uP diterajui Kementerian Kewangan (MOF) dengan sokongan enam GLIC utama iaitu Permodalan Nasional Berhad, Kha­zanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya ketika ditemui di Merdeka 118, di sini baru-baru ini.

GEAR-uP beroperasi melalui dua objektif utama iaitu menaikkan siling dan menaikkan lantai.

Objektif menaikkan siling memberi tumpuan kepada memodenkan industri, mening­katkan kerumitan ekonomi, memacu pertumbuhan hijau dan memperkukuh firma dari semua saiz.

Objektif menaikkan lantai pula menekankan pelaksanaan gaji yang adil, keadilan sosial dan usaha memperkukuh komuniti termasuk golongan kurang berkemampuan serta meningkatkan komuniti Bumiputera.

PNB adalah antara enam GLIC yang memberi komitmen untuk menggerakkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) bernilai RM120 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP.

Menurut Rick, program ini adalah sebahagian daripada menaikkan siling dengan sasaran melahirkan 10 syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dengan permodalan pasaran atau nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta setiap satu dalam tempoh lima tahun.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan lebih banyak syarikat Bumiputera dapat mengakses pembiayaan, pasaran lebih luas dan bersaing dalam sektor bernilai tinggi.

“Program ini juga diperkenalkan untuk menangani jurang penyertaan Bumiputera dalam Bursa Malaysia apabila hanya lima daripada 220 syarikat tersenarai antara 2020 hingga 12 November 2025 adalah milik Bumiputera.

“Inisiatif ini juga bagi me­nyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar GLIC dan GLC memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera untuk membantu melahirkan lima hingga 10 syarikat Bumiputera yang benar-benar berjaya,” jelasnya.

Program ini juga berbeza daripada inisiatif pemerkasaan Bumiputera sebelum ini kerana pendekatannya berstruktur, kolektif dan dilaksana melalui penilaian profesional.

Pemilihan syarikat tidak dibuat melalui permohonan umum, sebaliknya dilakukan secara proaktif oleh GLIC menerusi proses saringan awal dan penilaian berperingkat.

Rick berkata, pendekatan kali ini berstruktur dan profesional berbanding inisiatif sebelum ini kerana ia dilaksana secara kolektif antara PNB, GLIC dan GLC.

Katanya, PNB telah menjalankan proses saringan awal terhadap lebih 100 syarikat Bumiputera yang dicalonkan oleh pelbagai sumber.

“Daripada jumlah itu, antara 30 hingga 40 syarikat sedang melalui peringkat lanjut penilaian sebelum disenarai pendek kepada sekurang-kurangnya 10 syarikat pada suku pertama 2026.

“Syarikat-syarikat yang dipilih adalah sektor agnostik tetapi pada masa yang sama kami juga menyokong sektor bernilai tinggi seperti teknologi, penjagaan kesihatan, pembuatan serta sektor berimpak pertumbuhan lain,” katanya.

Rick berkata, program itu turut memberi penekanan kepada penyediaan Value Creation Plans (VCP) bagi membantu syarikat membina kapasiti dalaman dan memperkukuh struktur pengurusan.

“Penyenaraian di Bursa Malaysia menjadi salah satu indikator kejayaan sekiranya syarikat berjaya mencapai nilai perusahaan yang ditetapkan, namun keputusan itu kekal di tangan pemilik dan pengurusan syarikat.

“Program GEAR-uP akan dilaksanakan dari 2026 hingga 2030 kerana pembangunan kapasiti menerusi VCP lazimnya mengambil tempoh tiga hingga lima tahun untuk menunjukkan impak ketara,” katanya.

Mengulas mekanisme Bumiputera Relay Race, Rick berkata, penyatuan Ekuinas di bawah PNB membolehkan pemilikan Bumiputera bagi syarikat matang dikekalkan melalui pemindahan pegangan kepada PNB semasa proses tawaran awam permulaan (IPO).

Hasil penjualan pegangan pula akan disalurkan sebagai dividen kepada PNB untuk manfaat komuniti melalui unit amanah.

“Antara kejayaan awal program ini ialah penyenaraian Orkim Bhd pada 9 Disember 2025, sebuah syarikat hiliran minyak dan gas terkemuka dalam pengangkutan marin produk petroleum,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan selaras dengan aspirasi PUTERA35 untuk meningkatkan pemilikan ekuiti dan penyertaan Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi.

“Dengan pendekatan bersepadu antara PNB, GLIC, GLC dan sokongan kerajaan, Program 10 Juara Bumiputera dijangka menjadi pemangkin kemunculan syarikat Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat nasional dan serantau,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN